Terinspirasi filem ‘Thamizhan’, lelaki derma RM933 kepada Tabung Bantuan Ketua Menteri Tamil Nadu

Terinspirasi filem ‘Thamizhan’, lelaki derma RM933 kepada Tabung Bantuan Ketua Menteri Tamil Nadu

CHENNAI – Seorang lelaki di Chennai mencuri perhatian ramai selepas menyumbang sebanyak 22,674 rupee (RM933.03) kepada Tabung Bantuan Awam Ketua Menteri Tamil Nadu selepas terinspirasi dengan babak dalam filem Thamizhan lakonan Vijay.

Arun Loganathan yang berasal dari Chennai berkata, sumbangan itu dibuat sebagai simbolik ‘tanggungjawab individu terhadap hutang negeri’ selepas Vijay yang kini menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu memegang tampuk pemerintahan negeri tersebut.

Dalam filem Thamizhan yang ditayangkan pada 2002, watak Surya lakonan Vijay menghantar cek sebanyak 4,000 rupee (RM164.60) kepada Perdana Menteri India sebagai sumbangan bagi membantu melangsaikan hutang negara.

Hampir 25 tahun kemudian, Arun mengambil inspirasi daripada adegan tersebut dengan menyalurkan wang kepada Tabung Bantuan Awam Ketua Menteri Tamil Nadu.

“Ia mungkin kecil, tetapi saya percaya perubahan perlu bermula daripada diri sendiri,” katanya.

Menurut Arun yang bekerja sebagai pengamal seni mentalisme, rakyat sepatutnya memainkan peranan aktif dalam pentadbiran dan kesedaran sosial.

Lelaki berusia 43 tahun itu turut merakam keseluruhan proses beliau membuat pembayaran di pejabat pos Villivakkam dan memuat naiknya ke media sosial.

Katanya, jumlah 22,674 (RM933.03) dipilih berdasarkan tarikh lahir Vijay iaitu 22 Jun 1974, yang mempunyai nilai simbolik dalam kalangan peminat pelakon tersebut.

Arun menjelaskan jumlah sebenar bahagian hutang negeri bagi setiap individu di Tamil Nadu dianggarkan melebihi 100,000 rupee (RM4,114.50) berdasarkan belanjawan negeri yang diumumkan pada Februari 2026, namun beliau hanya mampu menyumbang sebahagian kecil buat masa ini.

Selain itu, beliau turut menghantar surat kepada Ketua Menteri Tamil Nadu, Joseph Vijay dengan tajuk ‘Memenuhi Tanggungjawab Hutang Individu Saya’.

Menerusi surat tersebut, Arun yang pernah menghidap polio ketika kecil turut berharap kerajaan negeri memberi perhatian terhadap penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) serta akses yang lebih inklusif.

“Saya sedar wang ini mungkin tidak digunakan secara langsung untuk melangsaikan hutang negeri, sebaliknya bagi kerja bantuan awam. Tetapi jika ia mampu membantu meningkatkan akses kepada golongan OKU, itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Arun kini dikenali sebagai ahli mentalis, hipnotis dan pembaca minda yang sering muncul dalam program televisyen serta persembahan korporat.

Namun pada awal 2000-an, beliau sebenarnya merupakan pelajar undang-undang di Dr Ambedkar Law College, sama seperti watak Surya dalam filem Thamizhan.

Menurutnya, filem tersebut memberi inspirasi besar kepadanya kerana mesej yang dibawa berkaitan keadilan sosial dan kesedaran undang-undang kepada masyarakat.

Selain memaparkan isu hak rakyat, filem Thamizhan turut mengetengahkan beberapa adegan yang mengkritik kecuaian penjawat awam dan layanan tidak adil terhadap golongan bawahan. – Agensi

Scroll to Top