Iran: Selat Hormuz hanya ditutup kepada ‘musuh kami’

Iran: Selat Hormuz hanya ditutup kepada ‘musuh kami’
Iran: Selat Hormuz hanya ditutup kepada ‘musuh kami’

Iran berkata Selat Hormuz terbuka kepada perkapalan dari semua negara sahabat – Gambar kecil (Abbas Araghchi)

TEHERAN/NEW DELHI – Iran berkata Selat Hormuz terbuka kepada perkapalan dari semua negara sahabat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Dari sudut pandangan kami, Selat Hormuz tidak ditutup, khususnya bukan kepada negara sahabat. Ia hanya ditutup untuk musuh kami,” kata Menteri Luar, Abbas Araghchi di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi pada Jumaat.

Diplomat tertinggi Iran itu turut secara mengejut membayangkan kemungkinan sekatan yang dikenakan tentera laut Iran akan ditarik balik.

Abbas Araghchi berkata, perkara itu tertakluk kepada penamatan perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari.

“Kemudian kami akan memastikan laluan selamat dijamin bagi setiap kapal,” katanya.

Tidak lama selepas perang bermula, angkatan tentera Iran mengambil alih kawalan Selat Hormuz yang penting bagi perdagangan tenaga. Ancaman, pemeriksaan dan serangan terhadap kapal menyebabkan trafik di selat itu sebahagian besarnya terhenti.

Keadaan itu mengakibatkan kenaikan ketara harga tenaga dan bahan api di seluruh dunia. Menurut Iran, selat itu juga telah dipasang periuk api sejak itu.

Tehran secara konsisten menegaskan bahawa Selat Hormuz tidak ditutup. Bagaimanapun, dalam amalan, syarikat perkapalan perlu menyelaras dengan pusat hubungan Iran dan hanya dibenarkan melalui koridor berhampiran pantai Iran.

Kepimpinan Iran mengenakan bayaran tinggi untuk perkara itu. Pakar undang-undang antarabangsa berkata bayaran sedemikian melanggar hak laluan transit.

Pihak AS pula mengenakan sekatan maritim terhadap Iran pada pertengahan April antara lain bagi menyekat hasil pendapatan minyak negara itu. – Bernama

 

 

Scroll to Top