mahaizura@mediaprima.com.my
Ramai memberi perhatian kepada pemakanan sihat, namun tidak sedar barangan dapur yang digunakan setiap hari juga boleh memberi kesan kepada kesihatan jika salah pilih atau digunakan terlalu lama.
Daripada kuali tercalar, bekas plastik dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro sehinggalah ke papan pemotong lama, semuanya berpotensi menjadi tempat pembiakan bakteria atau melepaskan bahan tertentu ke dalam makanan.
Antara yang sering menjadi perhatian ialah penggunaan kuali ‘non-stick’ seperti teflon.
Permukaan yang sudah calar atau rosak boleh meningkatkan risiko pelepasan bahan kimia apabila dipanaskan pada suhu terlalu tinggi.
Atas sebab itu, ramai kini beralih kepada kuali keluli tahan karat atau ‘cast iron’ yang lebih tahan lama dan sesuai untuk penggunaan jangka panjang.
Selain itu, penggunaan bekas plastik untuk menyimpan atau memanaskan makanan juga perlu diberi perhatian kerana sesetengah plastik boleh melepaskan bahan kimia seperti ‘bisphenol A’ (BPA) dan ‘phthalate’, terutama apabila terkena haba.
Bekas kaca tahan haba seperti kaca borosilikat pula dianggap lebih selamat kerana tahan panas dan tidak mudah bertindak balas dengan makanan.
Penggunaan aluminium foil secara berlebihan juga tidak digalakkan terutama untuk makanan berasid atau dipanaskan terlalu lama kerana aluminium boleh meresap ke dalam makanan.
Sebagai alternatif, kertas ‘parchment’ tanpa peluntur boleh menjadi pilihan kerana lebih sesuai digunakan untuk membakar atau membungkus makanan.
Papan pemotong plastik yang lama dan banyak kesan calar pula boleh memerangkap bakteria selain berisiko menghasilkan mikroplastik akibat geseran pisau.
Disebabkan itu, papan pemotong kayu atau buluh semakin mendapat perhatian kerana lebih tahan lama dan dianggap lebih sesuai untuk kegunaan dapur harian jika dijaga dengan baik.
Tip pilih barangan dapur selamat
1) Tukar kuali non-stick yang sudah tercalar atau rosak.
2) Elakkan panaskan makanan dalam bekas plastik biasa.
3) Pilih bekas kaca tahan haba untuk ketuhar gelombang mikro.
4) Kurangkan penggunaan aluminium foil pada suhu terlalu tinggi.
5) Gunakan kertas parchment untuk membakar makanan.
6) Tukar papan pemotong plastik yang sudah banyak calar.
7) Asingkan papan pemotong untuk makanan mentah dan makanan masak.
8) Pilih barangan bertanda ‘food grade’ dan bebas BPA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




