PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi hari ini mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan dan keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta.
Asheeq Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau merasakan hala tuju parti semakin menjauh daripada asas perjuangan dan idealisme reformasi yang dipegangnya sejak menyertai PKR susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton.
Katanya, pada awalnya beliau percaya masih terdapat ruang untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu parti, namun akhirnya berdepan konflik antara idealisme perjuangan dan pragmatisme politik yang semakin menebal dalam PKR.
“Banyak keputusan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini menyimpang daripada asas perjuangan yang saya percaya sejak zaman aktivisme saya dahulu sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asheeq Ali turut memaklumkan akan menyerahkan notis dua minggu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berhubung peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Batu.
“Proses peralihan tugas akan dilaksanakan secara teratur dan lancar. Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang pernah memberi ruang, kepercayaan dan sokongan sepanjang penglibatannya dalam parti.
“Walau apa pun keputusan politik saya selepas ini, saya akan meneruskan gerak kerja dan bakti di Batu sebagai anak tempatan yang lahir di sini.
“Komitmen saya terhadap masyarakat tidak pernah terikat pada mana-mana jawatan atau parti semata-mata,” katanya. – UTUSAN




