Kerbau ‘Trump’ dan ‘Netanyahu’ jadi tumpuan menjelang Aidiladha di Bangladesh

Kerbau ‘Trump’ dan ‘Netanyahu’ jadi tumpuan menjelang Aidiladha di Bangladesh

DHAKA – Dua ekor kerbau albino yang dinamakan sempena Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi sensasi tular serta tarikan ramai menjelang sambutan Aidiladha di Bangladesh.

Seekor kerbau seberat 700 kilogram (kg) yang dinamakan ‘Trump’ mencuri perhatian pengunjung di sebuah ladang ternakan di Narayanganj dekat Dhaka kerana dikatakan memiliki rupa seakan-akan pemimpin AS itu.

Kerbau berkulit merah jambu dengan bulu keemasan itu dinamakan sempena Trump kerana gaya bulunya dikatakan menyerupai rambut Presiden berkenaan.

“Apabila saya melihat gambarnya di Facebook, rupanya benar-benar seperti Donald Trump.

“Bentuk muka dan gaya rambutnya juga hampir sama,” kata seorang pengunjung kepada akhbar Prothom Alo.

Namun, pengunjung itu berseloroh bahawa sifat kerbau tersebut yang tenang dan jinak tidak menggambarkan personaliti sebenar Trump.

Pemilik haiwan itu, Ziauddin Mridha berkata, puluhan pengunjung datang setiap hari ke ladangnya untuk melihat dan bergambar dengan kerbau berkenaan.

Menurutnya, kerbau itu dibeli di pasar lembu kira-kira 10 bulan lalu sebelum adiknya secara bergurau menamakannya sebagai Trump kerana bulu di bahagian kepalanya.

Kerbau dinamakan Trump ini bersifat jinak.

Kerbau dinamakan Trump ini bersifat jinak.

“Kerbau albino biasanya tenang dan tidak agresif kecuali jika diganggu,” katanya.

Kerbau itu dilaporkan sudah dijual pada harga 550 taka Bangladesh (RM17.60) sekilogram dan akan diserahkan kepada pemilik baharu sebelum Aidiladha.

Dalam pada itu, seekor lagi kerbau albino seberat lebih 750kg dinamakan ‘Netanyahu’ turut menjadi perhatian kerana sifatnya yang agresif.

Media tempatan melaporkan haiwan tersebut memiliki perangai ‘suka melawan’ selain bentuk mata dan bulunya dikatakan menyerupai Netanyahu.

“Saya datang selepas mendengar cerita mengenai kerbau ini,” kata seorang pengunjung.

Pengurus SS Cattle Farm pula menyifatkan kerbau berkenaan sebagai ‘nakal dan licik’.

“Malah ketika kami cuba memberinya makan, ia akan mendengus dan cuba menanduk,” katanya.

Menurut pengurus itu, ladang berkenaan memiliki enam ekor kerbau albino dan kebanyakannya bersifat agresif.

Fenomena itu mencetuskan perhatian besar di Bangladesh dengan ramai pengunjung hadir setiap hari untuk melihat haiwan unik tersebut menjelang sambutan Aidiladha.-Agensi

Scroll to Top