712 usahawan asnaf capai jualan RM20.46 juta menerusi IPR-INSAN

712 usahawan asnaf capai jualan RM20.46 juta menerusi IPR-INSAN

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Inisiatif-Usahawan Makanan (IPR-Insan) menunjukkan pencapaian positif dengan merekodkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM20.46 juta sehingga Mac lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebanyak 1,125 mesin layan diri dipasang di seluruh negara sehingga 5 Mei lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 712 peserta mencatatkan hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa program itu bukan sekadar program bantuan tetapi peluang kepada rakyat untuk berniaga, membina pendapatan sendiri serta keluar daripada kemiskinan dengan lebih berdikari,” katanya.

Akmal berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi melanjutkan tempoh perlaksanaan program itu selama 24 bulan lagi.

“Ia bagi membolehkan manfaat program berkenaan dapat diteruskan kepada lebih ramai rakyat dalam kategori berpendapatan rendah (B40)

“Ini terutamanya di kawasan perbandaran supaya ia dapat membantu meningkatkan pendapatan serta mempertahankan maruah kehidupan keluarga mereka,” katanya pada Majlis Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP di bawah Program IPR-Insan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top