ALOR SETAR – Keputusan menerima kelayakan Unified Examination Certificate (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai standard utama pendidikan negara.
Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pengiktirafan berkenaan walaupun dengan syarat tertentu seperti kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah, boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
Menurutnya, hal ini boleh mendorong lebih ramai pelajar memilih laluan alternatif berbanding sistem SPM yang menjadi asas pendidikan negara ketika ini.
“Lebih membimbangkan, kemasukan UEC ke IPTA akan mencipta insentif besar untuk lebih ramai meninggalkan arus pendidikan nasional. Persoalannya jelas iaitu mengapa perlu berada dalam sistem kebangsaan jika akhirnya laluan alternatif juga mendapat hak yang sama.
“Kesannya bukan kecil. Lama-kelamaan sistem pendidikan nasional akan kehilangan autoriti. Perlahan-lahan SPM akan hilang nilai sebagai standard utama negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Haim Hilman yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan Pas berkata, negara ini mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan yang jelas dengan SPM dijadikan penanda aras utama yang diiktiraf secara nasional.
Menurutnya, pelajar pelbagai kaum mengikuti sistem yang sama bagi membentuk identiti negara, namun pengiktirafan laluan alternatif seperti UEC dibimbangi akan mengubah landskap tersebut.
“Apabila UEC diterima masuk ke IPTA, mesej yang dihantar sangat berbahaya iaitu rakyat tidak perlu berada sepenuhnya dalam arus pendidikan nasional tetapi masih boleh memasuki IPTA,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut bukan berkaitan sentimen kaum, sebaliknya soal keadilan kepada pelajar yang memilih sistem pendidikan kebangsaan.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa semua pihak mempertahankan sistem pendidikan nasional sebagai asas pembinaan negara bangsa dan perpaduan rakyat.
“IPTA bukan sekadar institusi pengajian tinggi. Ia simbol dasar nasional yang dibina menggunakan wang rakyat. Maka asas kemasukannya mesti berteraskan sistem pendidikan nasional,” katanya lagi.



