GEORGE TOWN : Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menyerahkan kepada pengurusan kelab untuk menentukan nasibnya bersama pasukan itu musim depan.
Beliau berkata, selagi khidmatnya diperlukan, selagi itulah dia akan berbangga untuk menabur bakti bersama Penang FC.
“Belum ada apa-apa perbincangan (berhubung masa depan). Mungkin masih terlalu awal sebelum musim baharu bermula. Apapun, saya harap mereka (pihak pengurusan) dapat menilai hasil kerja saya (sepanjang musim ini), insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Penang FC menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan kejayaan selepas membenam cabaran kelab Brunei, DPPM FC 2-1 di Stadium Bandaraya, semalam.
Kemenangan di laman sendiri pada aksi terakhir itu muncul selepas skuad Harimau Kumbang terpaksa mengharungi kemarau tanpa kemenangan selama hampir empat bulan dalam saingan Liga Super musim ini.
Sementara itu, pengendali DPMM FC, Jamie McAllister memberitahu, musim pertama beraksi dalam Liga Malaysia memberi 1,001 pengalaman berharga buat mereka.
“Permulaan musim ini agak sukar bagi kami, tetapi, kami mula membiasakan diri ketika pertengahan musim dan saya berpuas hati dengan persembahan kami sepanjang beraksi dalam saingan Liga Super ini.
“Kami akan kembali menjadi pasukan lebih kuat (musim depan) dengan menandatangani pemain-pemain baharu yang lebih berkualiti kerana kami sudah tahu bagaimana untuk menghadapi pasukan-pasukan lain dalam liga ini,” ujar beliau.
Untuk rekod, Penang FC berjaya menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelapan daripada 13 pasukan dengan mengumpul 25 mata manakala DPMM FC pula berada di tangga ke-10 selepas meraih 23 mata.-UTUSAN




