Peruntukan tambahan bina 6,000 bilik darjah baharu

Peruntukan tambahan bina 6,000 bilik darjah baharu

IPOH – Kerajaan meluluskan tambahan peruntukan daripada RM500 juta kepada RM900 juta bagi pembinaan 6,000 bilik darjah baharu di seluruh negara untuk memastikan keperluan ruang pembelajaran murid khususnya Tahun Satu dapat dipenuhi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan peruntukan itu dibuat selepas Kementerian Pendidikan memaklumkan berlaku peningkatan keperluan bilik darjah susulan pertambahan pendaftaran murid.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kekurangan bilik darjah pada saat akhir yang boleh menjejaskan proses pembelajaran.

“Dalam Belanjawan 2026 sebelum ini kita umumkan RM400 juta untuk pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan melibatkan lebih 800 sekolah.

“Namun selepas penilaian semula dan unjuran semasa, kerajaan bersetuju menambah peruntukan daripada RM500 juta kepada RM900 juta untuk membina 6,000 bilik darjah,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian sempena Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, pelaburan dalam sektor pendidikan perlu diberi keutamaan kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek celik huruf tetapi pembangunan modal insan yang mampu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), tanpa mengabaikan nilai akhlak dan jati diri.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kontraktor kecil bumiputera yang berjaya melaksanakan projek dengan cemerlang akan diberi peluang mengendalikan projek lebih besar pada masa hadapan.

Menurutnya, kerajaan mahu melihat kontraktor kecil terutama dalam kategori G1 hingga G4 terus berkembang dan tidak kekal dalam skala kecil untuk tempoh yang lama.

Jelasnya, prestasi baik dalam melaksanakan projek kerajaan akan menjadi antara asas utama penilaian bagi membolehkan syarikat berkenaan menerima kontrak lebih besar.

“Kalau prestasi syarikat kontraktor kecil ini baik, saya akan pastikan dalam urutan penilaian kerajaan, mereka akan diberikan kontrak lebih besar supaya dapat berkembang.

“Ini janji saya kerana kita tidak mahu mereka kekal selama-lamanya sebagai kontraktor kecil,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan melaksanakan dasar memperkasakan kontraktor kecil bukan sekadar membuka ruang perniagaan sebaliknya bagi memastikan syarikat bumiputera berdaya saing dan mampu meningkatkan kapasiti masing-masing.

Katanya, had sebut harga projek yang sebelum ini ditetapkan pada RM500,000 kini dinaikkan kepada RM1 juta bagi memberi lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil.

“Dulu kita hadkan kerana mahu pastikan tatakelola baik dan elak ketirisan, tetapi selepas perbincangan dengan pegawai serta pemain industri, kerajaan bersetuju menaikkan had ini.

“Tetapi saya tegaskan, peluang ini mesti diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, cekap dan berintegriti bukan kerana ada kaitan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengarahkan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memberi kerjasama penuh kepada kontraktor kecil bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dipercepatkan.

Scroll to Top