Nik Nazmi nafi program bersama Rafizi esok tangguh

Nik Nazmi nafi program bersama Rafizi esok tangguh
Nik Nazmi nafi program bersama Rafizi esok tangguh

Nik Nazmi (kanan) tegaskan program pengumuman hala tuju politik baharunya bersama Rafizi Ramli tetap berlangsung pada waktu dan tarikh yang sama di Petaling Jaya.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan program pengumuman hala tuju politik baharunya bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Ahad ditangguhkan.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan acara tersebut akan tetap berlangsung pada waktu dan tarikh yang sama di Petaling Jaya.

“Tersebar poster yang mengatakan program pengumuman hala tuju politik saya dan saudara Rafizi Ramli akan ditangguhkan. Itu sebenarnya tidak betul. Program tersebut pada 17 Mei jam 2 petang di Petaling Jaya.

“Jangan percaya kepada fake news (berita palsu), pastikan anda hadir beramai-ramai,” katanya menerusi hantaran video di media sosialnya pada Sabtu.

Setiausaha Akhbar Rafizi, Farhan Iqbal pada Rabu lalu membuat jemputan media mengenai program hala tuju baharu kedua-dua pemimpin berkenaan.

Jemputan tersebut turut disertakan mesej Rafizi yang menyatakan tempoh setahun lalu memberi ruang kepada kedua-dua bekas menteri itu mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor bagi memutuskan hala tuju politik seterusnya.

Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada Mei tahun lalu dengan alasan kekalahannya dalam Pemilihan PKR dan merasakan tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan parti tersebut menjadi program kerajaan.

Sementara itu, Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga atas alasan gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan.

Jelas beliau, pelantikannya sebagai menteri mengambil kira kedudukannya ketika masih menjadi Naib Presiden parti.

 

Scroll to Top