am@hmetro.com.my
Papar: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di kilometer (km) 20, Lebuhraya Pan Borneo, Papar-Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara terbabit bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beaufort.
Katanya, sebuah motosikal dari arah bertentangan kemudian dipercayai masuk ke laluan kenderaan terbabit secara tiba-tiba.
“Pemandu pacuan empat roda cuba mengelak namun gagal disebabkan jarak terlalu dekat sebelum berlaku perlanggaran.
“Keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan lebat dan permukaan jalan juga basah,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal saksi awam di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai melawan arus sebelum kemalangan berlaku.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Inspektor EL Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau hadir ke balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




