Kapal GSF lakukan hentian teknikal di perairan Greece dan Turkiye – SNCC

Kapal GSF lakukan hentian teknikal di perairan Greece dan Turkiye – SNCC

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa kapal yang menyertai armada Global Sumud Flotilla (GSF) melakukan hentian teknikal di perairan Greece dan Turkiye bagi membaiki sistem telekomunikasi serta enjin sebelum belayar ke Gaza, esok.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, keadaan laut yang bergelora turut mempengaruhi misi pelayaran GSF.

“Hentian teknikal ini hanyalah bersifat sementara dan tidak membabitkan sebarang pendaratan aktivis ke daratan.

“Kapal-kapal GSF dijangka akan meneruskan semula pelayaran menuju ke Gaza esok selepas semua persiapan operasi selesai dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu hati menggandakan usaha menyebar fakta sahih berhubung perjuangan itu dan menangkis propaganda jahat rejim Zionis di semua platform media.

Katanya, orang ramai digesa melakukan solat hajat, Qunut Nazilah dan bermunajat demi kejayaan dalam membebaskan Gaza.

“SNCC menegaskan bahawa setiap penyebaran maklumat hendaklah sentiasa berpandukan sumber yang sahih dan berautoriti.

“Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh layari portal rasmi tanya.sumudousantara.com,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top