Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut

Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut
Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut

Lima warga Itali maut dalam insiden selam skuba dan setakat ini hanya satu mayat berjaya ditemukan. Foto AFP

ROM – Seorang penyelam maut di Maldives ketika mencari mayat pelancong Itali yang lemas dalam insiden selam skuba, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Agensi berita Itali ANSA melaporkan pada Sabtu, memetik sumber Maldives, bahawa penyelam itu, anggota Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives, meninggal dunia ketika cuba mengesan empat mayat di sebuah gua dasar laut di Atol Vaavu.

Seramai lima warga Itali maut dalam insiden pada Khamis itu. Setakat ini hanya satu mayat berjaya ditemukan.

Punca sebenar kemalangan dan keadaan yang membawa kepada kematian mangsa masih disiasat pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar Itali berkata, kumpulan lima individu itu – termasuk seorang ahli biologi marin dan jurulatih selam skuba sedang meneroka sistem gua yang mempunyai beberapa ruang saling bersambung melalui laluan sempit pada kedalaman sekitar 50 meter.

Bagaimanapun, laporan media mencadangkan kumpulan itu hanya dibenarkan menyelam pada kedalaman kira-kira 30 meter. Kebenaran khas diperlukan di Maldives untuk penyelaman lebih dalam, yang dilaporkan tidak dimiliki kumpulan itu.

Maldives, sebuah negara kepulauan di Lautan Hindi di barat daya Sri Lanka, merupakan destinasi popular pelancong termasuk peminat snorkel dan penyelam yang tertarik dengan terumbu karang serta pantai berpasir putih. – Bernama-dpa

 

 

 

 

Scroll to Top