Ambil masa dua tahun sampai tahap ini: Aedy

Ambil masa dua tahun sampai tahap ini: Aedy

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Dunia seni tanah air baru-baru ini menyaksikan satu lagi evolusi profil seni pelakon, Aedy Ashraf.

Selepas lebih dua dekad menghambakan diri di hadapan lensa kamera sebagai pelakon, Aedy kini melangkah setapak lagi dengan memikul tanggungjawab besar sebagai penerbit melalui syarikat produksi, Alpha47 Films.

Buah tangan sulung yang menjadi taruhan sulung syarikat ini bukan naskhah ringan, sebaliknya filem aksi yang sarat dengan emosi berjudul Tarung: Unforgiven.

Filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 7 Mei lalu ini bukan sekadar sebuah projek biasa, tetapi manifestasi impian dan titik peluh Aedy sepanjang pembabitannya dalam industri.

Bagi Aedy, transisi daripada seorang pelakon kepada penerbit adalah satu perjalanan yang penuh dengan pengajaran dan cabaran yang mendewasakan.

Dia mengakui bahawa perasaan yang dialaminya ketika ini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana ia membabitkan proses yang panjang dan meletihkan.

“Perasaan saya ketika ini sebenarnya sukar untuk saya huraikan. Saya boleh katakan perasaan ini sangat mahal. Untuk sampai ke tahap ini, ia mengambil masa lebih dua tahun.

“Terlalu banyak rintangan dan cabaran yang perlu kami lalui untuk merasai apa yang saya rasa hari ini. Sebab itulah saya katakan perasaan ini mahal,” katanya.

Keterujaan Aedy terhadap Tarung: Unforgiven jelas terpancar apabila dia menyifatkan projek ini sebagai satu pelaburan emosi yang besar.

Aedy bukan sahaja bertindak sebagai penggerak utama di balik tabir, malah turut terjun berlakon dalam filem yang diarahkan Razaisyam Rashid ini.

Baginya, setiap detik yang dilalui sepanjang proses pembikinan filem ini adalah sangat berbaloi walaupun terpaksa mengorbankan waktu rehat dan tidurnya.

“Perasaan ini bagi saya sangat berbaloi untuk dilalui. Sebelum ini, saya rasa hampir seminggu saya tidak tidur dengan tenang, sentiasa bangun awal pagi semata-mata untuk memastikan segalanya berjalan lancar.

“Ini bukan soal mengejar kesempurnaan mutlak, tetapi lebih kepada memberi kepuasan maksimum kepada penonton apabila mereka melangkah masuk ke panggung,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan Alpha47 Films dan penghasilan Tarung: Unforgiven, Aedy mempunyai visi yang jelas untuk industri filem tempatan.

Dia melihat bahawa Malaysia memerlukan lebih banyak nafas baharu daripada golongan muda yang berani mengambil risiko dalam bidang penerbitan kreatif.

“Sejujurnya, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Sangat susah. Namun, saya percaya dengan apa yang saya lakukan hari ini.

“Saya harap langkah saya ini boleh memberi inspirasi kepada ramai lagi orang di luar sana untuk mula menerbitkan karya sendiri.

“Saya rasa Malaysia kekurangan penerbit kreatif muda yang sanggup mengambil cabaran dan mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada,” katanya.

Sebagai seorang pelakon yang kini duduk di kerusi penerbit, Aedy mempunyai kelebihan untuk memahami keperluan rakan-rakan seperjuangannya di lokasi penggambaran.

Dia sangat menitikberatkan kebajikan dan emosi setiap pelakon yang terbabit kerana memahami betapa sukarnya untuk mendapatkan komitmen daripada nama-nama besar.

“Saya cuba berikan yang terbaik untuk barisan pelakon saya kerana bukan mudah untuk mendapatkan khidmat mereka.

“Saya faham jiwa pelakon, jadi saya akan pastikan masa mereka digunakan secara maksimum dan emosi mereka terjaga di lokasi. Di Alpha47, saya bersama rakan kongsi, Fatimah Ruzaimi, memang sangat teliti.

“Setiap perincian di lokasi mahupun di dalam setiap bingkai kamera diambil kira kerana setiap saat itu membabitkan kos yang mahal,” katanya.

Bercerita mengenai sokongan yang diterima, Aedy tidak menafikan bantuan daripada pihak kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi pemangkin kepada kejayaan naskhah ini.

“Tanggungjawab saya sebagai penerbit adalah memastikan pengarah saya, Razaisyam Rashid, mendapat ruang kreativiti yang maksimum. Kita mahu nilai produksi dan kualiti yang tinggi untuk diberikan kepada penonton.

“Tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik seperti Astro Shaw, saya tidak rasa kami akan sampai ke tahap seperti hari ini,” katanya.

Filem Tarung: Unforgiven memaparkan barisan pelakon yang cukup mantap, menggabungkan pelakon senior dan bintang muda yang sedang meningkat naik seperti Mierul Aiman, Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, dan Ubai Amir.

Kehadiran nama besar dalam naskhah sulung Alpha47 Films membuktikan kepercayaan industri terhadap visi Aedy.

Bagi Aedy, pengalaman bekerjasama dengan barisan pelakon ini, terutamanya memujuk nama besar seperti Zul Ariffin, adalah satu cabaran yang cukup manis untuk dikenang.

Kini, selepas Tarung: Unforgiven menemui penonton, Aedy menyerahkan sepenuhnya penilaian naskhah berkenaan kepada peminat filem tanah air.

Dia sedar bahawa tugasnya sebagai penerbit adalah untuk menyediakan karya yang terbaik, namun sambutan penonton adalah penentu segalanya.

“Harapan saya pastinya mahu melihat filem ini berjaya, tetapi akhirnya ia berbalik kepada penonton. Saya harap mereka dapat membuka sedikit ruang untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem ini di pawagam,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top