Selepas Piala FA, Silva idam trofi EPL

Selepas Piala FA, Silva idam trofi EPL

London: Manchester City memasang harapan besar untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada final Piala FA di Wembley, awal pagi tadi.

Ketua pasukan Man City, Bernardo Silva berkata, kemenangan itu memberi suntikan semangat buat pasukannya untuk terus memburu gelaran liga.

“Masih ada sedikit harapan untuk kami bersaing merebut trofi Liga Perdana Inggeris.

“Hari ini memang cukup istimewa, lebih-lebih lagi ini musim terakhir saya bersama City. Saya gembira dapat hadiahkan satu lagi trofi buat kelab,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Antoine Semenyo muncul wira Man City apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-72.

Jaringan itu hadir hasil hantaran lintang Erling Haaland sebelum Semenyo tenang melakukan penyudah kaki kanan menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.

Man City yang sebelum ini turut menjulang Piala Liga pada Mac lalu, kini hanya dibezakan dua mata dengan pendahulu liga, Arsenal dengan baki dua perlawanan musim ini.

Silva turut mengakui pengurus pasukan, Pep Guardiola banyak mengubah karier bola sepaknya sejak dia menyertai kelab itu pada 2017.

“Sebahagian besar karier saya bersama Guardiola. Banyak kejayaan saya capai bersamanya dan hubungan kami memang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Semenyo mengakui dia masih belum mahu terlalu meraikan kemenangan itu kerana fokus utama pasukan ketika ini adalah memburu kejuaraan liga.

“Saya tak fikir akan ada sambutan besar malam ini sebab kami perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya,” kata Semenyo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top