Karakter terlalu besar, Amir Ahnaf belum sedia jadi Hang Tuah

Karakter terlalu besar, Amir Ahnaf belum sedia jadi Hang Tuah

PETALING JAYA: Pelakon, Amir Ahnaf, tampil menjelaskan spekulasi  mengaitkan dirinya sebagai teraju utama bagi pementasan teater muzikal ikonik, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Nama Amir, 26, menjadi sebutan selain Mierul Aiman dan Syafiq Kyle apabila rata-rata peminat meramalkan pelakon asal Terengganu itu adalah calon paling layak untuk menghidupkan semula watak pahlawan legenda, Hang Tuah.

Bagaimanapun, pelakon drama Projek: High Council itu memilih untuk bersikap rendah diri dan mengakui bahawa tanggungjawab menggalas watak Hang Tuah adalah terlalu besar untuk kapasitinya pada waktu ini.

“Terima kasih atas kepercayaan. Karakter itu terlalu besar untuk saya, kapasiti saya masih belum matang dan mampu,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Menerusi respons ringkas itu juga, Amir turut memberi bayangan bahawa dia lebih selesa untuk fokus kepada proses kematangan seninya terlebih dahulu sebelum melangkah ke pentas sebesar PGLM.

“Insya-Allah rezeki di lain hari ya. Tahniah buat yang ditakdirkan (memegang watak tersebut),” tambahnya lagi.

Pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang sebelum ini pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri seni tanah air, di mana watak Hang Tuah pernah dijayakan dengan cemerlang oleh nama-nama besar seperti Datuk Stephen Rahman-Hughes.

Semalam, pihak produksi PGLM telah mengumumkan penyanyi, Aisha Retno dan pelakon, Mila Mohsin sebagai pemegang karakter Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah.

Sehingga kini, identiti pelakon yang bakal menggalas watak pahlawan Melayu itu masih menjadi tanda tanya dan terus mengundang teka-teki dalam kalangan peminat seni teater tempatan. -UTUSAN

Scroll to Top