Sidang DUN khas 24 Jun ini umum pembubaran untuk PRN Johor?

Sidang DUN khas 24 Jun ini umum pembubaran untuk PRN Johor?
Sidang DUN khas 24 Jun ini umum pembubaran untuk PRN Johor?

PRN Johor ketika ini masih dalam tempoh matang dan dijangka berakhir pada April 2027.

JOHOR BAHRU – Satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang akan diadakan pada 24 Jun ini dikaitkan dengan pengumuman pembubaran DUN bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Permintaan supaya kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersiap sedia untuk sidang DUN khas tersebut sudah mula disebarkan kepada mereka menerusi aplikasi WhatsApp.

Perkembangan itu susulan pengumuman Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu yang mengumumkan BN akan bertanding di 56 kerusi DUN.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon ketika dihubungi memaklumkan setakat ini tiada arahan ataupun surat rasmi dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

“Saya baru bertemu Onn Hafiz pagi tadi, kami ada program di Tasik Merdeka. Ya, saya ada baca mesej tular berhubung tarikh 24 Jun.

“Setakat ini, memang tiada sebarang arahan atau surat rasmi. Keadaan di Johor baik-baik sahaja selepas Onn Hafiz umum BN akan tanding 56 DUN semalam,” katanya yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan.

Sementara itu, ADUN Pemanis, Anuar Abd Manap ketika dihubungi berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menghadiri sidang DUN khas tersebut.

“Jika ada arahan rasmi untuk kami hadir bersidang, maka saya akan hadir dan bersiap sedia. Setakat ini, belum ada surat rasmi daripada pejabat jurutulis berkenaan sidang khas DUN ini.

“Biasanya kami akan menerima makluman secara bertulis dari pejabat mereka berkenaan perkara ini.

“Selagi belum ada kenyataan rasmi daripada pejabat jurutulis saya tak boleh nafi mahupun mengiyakan akan berlaku sidang khas DUN ini pada Jun nanti,” katanya mengulas mengenai sidang DUN khas tersebut.

Pada Sabtu, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor akan datang selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.

PRN Johor ketika ini masih dalam tempoh matang dan dijangka berakhir pada April 2027.

Tahun lalu, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa PRN Johor tidak akan diadakan lebih awal memandangkan kerajaan negeri masih mempunyai tempoh untuk memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).

 

 

Scroll to Top