Alicia Amin tak kisah jadi pelakon pengganti demi watak 'best'

Alicia Amin tak kisah jadi pelakon pengganti demi watak 'best'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Alicia Amin, 30, tidak berasa dirinya umpama ‘turun taraf’ apabila bersedia menerima tawaran sebagai pelakon pengganti seperti pernah dilakukannya untuk watak Intan dalam drama Andai Tiada Dia, tahun lalu.

Naskhah mengisahkan kemelut perhubungan kehadiran orang ketiga yang juga ahli keluarga itu memberi peluang Alicia menggantikan Mimi Lana membawa karekter antagonis sebagai perosak rumah tangga kakaknya, Suri.

Menurut Alicia, dia yang selektif memilih watak tetap bersikap terbuka untuk menerima tawaran sebagai pelakon pengganti sekiranya naskhah berkenaan didapati terbaik serta mendapat sambutan hangat pada kalangan penonton.

“Saya pernah ‘replace’ Mimi Lana dalam Andai Tiada Dia. Sebab saya ambil tawaran itu kerana watak ‘best’ walaupun kena jadi gila dan jahat, termasuk menggantikan orang lain. Tidak mengapa kerana bagi saya satu cabaran juga.

“Apa pun, yang penting saya ‘happy’, ditambah lagi watak (ganti orang) itu saya boleh buat dan kalau tidak cuba, kita tak tahu. Apa orang nak cakap, biarlah. Tak jadi ke atau tidak ‘best’ biar sahaja, kita terima asalkan pengarah dan penerbit okay.

“Pada diri kita sendiri pun sudah diamanahkan untuk membuat yang terbaik, jadi kita lakukanlah,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui selepas tayangan khas filem Konspirasi di TGV Alamanda, baru-baru ini.

Ditanya juga penampilan dirinya kini berambut pendek, Alicia berkata, dia terpaksa memotong rambut seperti lelaki kerana tuntutan watak dalam naskhah terbaharu berkenaan.

“Rambut pendek ini sebab tuntutan watak dan saya pun okay nak potong. Lagi pun, rambut akan tetap panjang juga. Memang tiada masalah untuk potong rambut pendek dan sekarang sudah mula nak panjang balik.

“Pada saya mana yang boleh dan mampu dibuat untuk watak, okay sahaja. Yang penting, saya seorang yang tak nak terikat dengan satu-satu watak seperti berat. Bagi saya, berlakon watak aksi dan biasa pun tidak apa,” katanya mengakui menerima watak mengikut ‘mood’.

Dalam perkembangan terbaharu, Alicia akan muncul menerusi filem Konspirasi bergenre political thriller, aksi dan penyiasatan siber dengan mengangkat kisah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Mei ini.

Selain Alicia, filem arahan Ghaz Abu Bakar dan edaran Primeworks Studios Sdn Bhd itu turut dibintangi pelakon seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Esma Daniel, Roy Azman dan Amir Nafis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top