am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mengadakan rundingan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan Barisan Nasional (BN) dan PH bertanding solo pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Beliau yang juga Presiden PKR berharap rundingan berkenaan akan berjalan dengan baik demi kebaikan kedua-dua belah pihak.
“Saya masih harap, walaupun pengumuman telah dibuat, saya masih harap. Saya akan berjumpa Presiden UMNO, saya (akan) kata rundinglah baik-baik, nak rebut apa?
“Di mana yang silap kita tak diberi tolong? Saya tak kira, saya tolong semua. Jadi kalau berebut ini di bawah, bergaduh. Jadi carilah (penyelesaian) yang terbaik,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri di Dewan Terbuka Program Perumahan Rakyat (PPR) Tan Desa Mutiara di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.
PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.
PRN Johor ke-16 perlu diadakan selewat-lewatnya sekitar Jun tahun depan sekiranya pembubaran berlaku secara automatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




