
Zi Yu-Noraqilah menutup kempen Masters China dengan status naib juara. Foto: Bernama
BEREGU wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki meskipun berjaya mencipta pencapaian terbaik karier apabila muncul naib juara Kejohanan Badminton Masters China Super 100 pada Ahad.
Pasangan ranking ke-133 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan gandingan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi selepas tewas straight set 13-21, 17-21 pada aksi 32 minit di Gimnasium Baoji.
Zi Yu berkata, mereka tetap gembira dengan pencapaian tersebut, namun mengakui persembahan dalam perlawanan akhir tidak berada pada tahap terbaik.
“Kami gembira hari ini dapat menaiki podium tetapi pada masa sama tidak berpuas hati kerana tidak bermain dengan baik.
“Ketika perlawanan akhir kami kurang konsisten, mungkin kerana ada rasa gementar. Ini perkara yang perlu kami perbaiki,” katanya.
Walaupun tewas di final, kejayaan mara sehingga perlawanan penentuan itu tetap dianggap pencapaian membanggakan buat pasangan muda negara berkenaan selepas berjaya melangkah ke final sulung Jelajah Dunia BWF.
Mengulas aksi seterusnya, Zi Yu berkata, mereka kini mahu segera bangkit dan memberikan aksi lebih baik pada saingan Perodua Masters Malaysia minggu ini.
“Untuk Perodua Masters Malaysia minggu ini, kami berharap dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.
Zi Yu-Noraqilah sebelum ini mencuri tumpuan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Wang Yi Duo-Wang Zi Meng 21-19, 21-18 dalam masa 42 minit pada aksi separuh akhir.



