PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi memperhalusi segala aspek perundangan berhubung kes semakan kehakiman berhubung isu prosedural dalam perintah pengecualian cecair atau gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.
Ia termasuk meneliti ruang tindakan undang-undang seterusnya dan menetapkan langkah susulan yang sewajarnya.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan keputusan mahkamah mencerminkan sistem semak dan imbang yang sihat selain membuktikan bahawa rakyat, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan amat prihatin terhadap polisi perlindungan kesihatan awam.
“KKM menegaskan bahawa pihak kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkongsi satu matlamat akhir yang sama, iaitu demi melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
“Perkembangan serta tindakan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan secara rasmi selepas proses konsultasi bersama pihak AGC dimuktamadkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan pihaknya kekal komited untuk terus memperkukuh agenda kawalan tembakau dan produk merokok melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 demi melindungi kesihatan rakyat khususnya golongan kanak-kanak serta generasi muda.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga NGO bagi mencabar keputusan kerajaan pada 2023 untuk mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.
NGO berkenaan ialah Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Pertubuhan Green Lung Malaysia dan Voice of the Children.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon berjaya membuktikan keputusan kerajaan untuk memberikan pengecualian itu, yang didorong terutamanya oleh faktor ekonomi sebelum Akta 852 berkuat kuasa pada 1 Okt 2024, adalah tidak rasional.- Bernama



