
Rafizi (kanan) dan Nik Nazmi (kiri) ketika membuat pengumuman untuk mengosongkan kerusi parlimen masing-masing.
PETALING JAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terikat dengan bon RM10 juta parti tersebut.
Rafizi menjelaskan, ia susulan mereka mengambil langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu sebelum keluar parti.
Beliau menambah, bon atau saman itu hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR.
“PKR ada saman atau bon sekiranya Ahli Parlimen keluar parti dan masuk parti lain kerana sebelum ini tiada wakil rakyat yang sanggup kosongkan kerusi.
“Ramai mahu kekal jadi Ahli Parlimen tetapi bertukar parti. Apa yang kami lakukan hari ini ialah memulangkan mandat itu kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman hala tuju politiknya bersama Nik Nazmi pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kedua-dua bekas menteri terbabit mengumumkan keluar parti, seterusnya akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa pada Isnin.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, langkah itu turut diambil bagi mengelakkan persepsi bahawa mereka cuba melanggar Akta Anti-Lompat Parti.
“Kami hormati mandat yang diberikan rakyat ketika menang atas tiket PKR dan Pakatan Harapan sebelum ini, sebab itu kami pilih untuk kosongkan kerusi,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan susulan kekosongan dua kerusi Parlimen tersebut.
Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, PRK tidak semestinya diadakan selepas tempoh tiga tahun, namun Speaker mempunyai kuasa mempertimbangkan perkara itu sekiranya kekosongan memberi kesan kepada majoriti kerajaan.
“Berdasarkan keadaan sekarang, sepatutnya perkara itu tidak terpakai kerana majoriti kerajaan berjumlah 150 kerusi tanpa kami berdua,” kongsinya.



