Selangor gagal ke Asia, tamatkan Liga Super di kedudukan ketiga

Selangor gagal ke Asia, tamatkan Liga Super di kedudukan ketiga
Selangor gagal ke Asia, tamatkan Liga Super di kedudukan ketiga

Pemain Selangor FC Alvin Fortes (tiga, kiri) diasak pemain PDRM FC Amir Saiful Badeli (dua, kiri) pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.-FOTO: BERNAMA

HASRAT Selangor FC untuk meraih tiket ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tidak kesampaian selepas menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan ketiga.

Walaupun skuad Gergasi Merah mempamerkan aksi cemerlang dengan membelasah PDRM FC 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad, kemenangan besar itu gagal membantu mereka memintas Kuching City FC bagi slot ke kejohanan Asia tersebut.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor FC kekal di tangga ketiga dengan mengutip 52 mata, hanya dibezakan satu mata di belakang skuad The Cats yang mengumpul 53 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.

Kuching City FC mengesahkan slot tersebut selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC dalam satu lagi aksi terakhir liga.

Dalam perlawanan di Stadium MBPJ itu, Selangor FC bermula garang apabila pemain tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi membuka tirai jaringan seawal minit ke-8.

Gergasi Merah terus bernafsu apabila Alvin Fortes meledak dua gol pantas pada minit ke-27 dan ke-29, sebelum Mukhairi sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring untuk menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 4-0.

Bersambung babak kedua, anak buah Kim Pan-gon tidak menunjukkan tanda untuk mengendurkan asakan apabila Aliff Izwan Yuslan menambah gol kelima pada minit ke-53.

Mukhairi kemudian melengkapkan hatrik menerusi gol keenam pasukan pada minit ke-89 sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 6-0.

Scroll to Top