PRN Melaka diadakan menjelang September – Ab Rauf

PRN Melaka diadakan menjelang September – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti diadakan dalam tempoh empat bulan dari sekarang.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas melihat keperluan untuk diadakan pilihan raya tanpa perlu menunggu tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung tahun ini.

“Pastinya dalam tempoh 120 hari lagi sebab kita tidak boleh tunggu sehingga tarikh tamat (penggal DUN) pada 30 Disember ini kerana (PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selewat-lewatnya Februari) itu sudah hampir masuk Ramadan.

“Jadi kita melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari ini dan kebolehupayaan untuk mengadakan pilihan raya mengikut perancangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sirih Pulang Ke Gagang di Villa D’ Acqua Kampung Pulau, di sini malam ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menerima borang keahlian UMNO daripada 190 individu dari seluruh Parlimen Masjid Tanah.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, gerak kerja menghadapi PRN sudah dimulakan sejak tahun lalu dengan mengaktifkan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh negeri.

“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lalu lagi kerana tempoh berkempen kebiasaannya hanya dua minggu.

“Insya-Allah, melihat kepada penerimaan masyarakat di Melaka, kita yakin menjadi pilihan utama rakyat kerana kita berjaya membawa perubahan dalam landskap pentadbiran kerajaan negeri diterajui UMNO dan BN ketika ini,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bergerak solo atau bersama gabungan lain pada PRN nanti, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

“Itu kita belum fikirkan lagi sama ada solo ataupun bersama. Kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman,” katanya.

Pada PRN Ke-15 pada 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dengan DUN Melaka dijangka tamat pada Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top