am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan tidak mengambil tindakan pantas bagi menangani isu peningkatan kos pengeluaran susulan kenaikan harga baja, jagung, hampas kacang soya dan bahan api.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan melalui Mesyuarat Khas Kabinet pada 13 Mac lalu, mengambil maklum keperluan mendesak meningkatkan pengeluaran domestik berskala besar.
Katanya, ia dibuat melalui peningkatan produktiviti aset pengeluaran makanan negara serta pengoptimuman penggunaan tanah pertanian, terutama di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Raja berkata, peningkatan berkenaan turut membabitkan program di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Bagi mengawal dan meminimumkan impak kenaikan kos pengeluaran, KPKM sudah dan sedang melaksanakan strategi serta inisiatif berfokus seperti pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mulai 1 Januari lalu.
“Pengecualian diberikan bagi bahan mentah pengilangan makanan ternakan, baja dan racun perosak, merangkumi 10 item baja, 19 item makanan ternakan dan 10 item racun perosak,” katanya dalam jawapan bertulis di portal Parlimen, malam ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai tindakan KPKM mengatasi isu kenaikan kos pengeluaran susulan kenaikan harga baja, jagung, hampas kacang soya dan bahan api.
Mohamad berkata, KPKM turut mempermudah urusan pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian, selain kerajaan sudah meningkatkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan, mulai April lalu.
Katanya, pemberian subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada nelayan tangkapan terus dikekalkan, selain menyediakan RM17.58 juta bagi memperkukuh mekanisasi dan automasi penanaman padi bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos operasi.
Beliau berkata, KPKM turut menetapkan sasaran pengeluaran 1.25 juta tan jagung bijian secara tempatan menjelang 2040, bagi memenuhi 30 peratus keperluan industri makanan ternakan.
“Pembangunan industri jagung bijian ini disokong kelulusan peruntukan bernilai RM99.7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Sebahagian peruntukan ini melalui Projek Pembangunan Industri Tanaman Jagung Bijian dan Kepelbagaian Tanaman Hijau turut menyokong pengeluaran tanaman hijau seperti napier sebagai sumber makanan ternakan tempatan,” katanya
Mohamad berkata, KPKM melalui Lembaga Perindustrian Nanas (LPNM) juga meluluskan peruntukan bernilai RM2 juta di bawah Projek Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 untuk menyokong Projek Pembangunan Skala Industri Kilang Makanan Haiwan Berasaskan Sisa Nanas di Kelantan.
“Projek penanaman kenaf bernilai RM1 juta di bawah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara melalui PPAN 2026 juga diluluskan sebagai sumber alternatif bahan makanan ternakan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan ternakan diimport,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




