Mara buka pembiayaan Program Kadet Juruterbang, keutamaan pelajar tahfiz – Asyraf Wajdi

Mara buka pembiayaan Program Kadet Juruterbang, keutamaan pelajar tahfiz – Asyraf Wajdi

SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka tawaran pembiayaan pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang dengan keutamaan kepada pelajar tahfiz.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, fasa terakhir temu duga program itu akan dikendalikan sendiri beliau menerusi sesi tasmik atau #TebukAl-Quran.

“Insya-ALLAH dalam masa terdekat Mara akan keluarkan iklan beserta syarat kelayakan.

“Pastinya pelajar baharu yang mahu memohon kadet pilot ini mesti memenuhi syarat asas yang ditetapkan oleh akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS.

“Akademi-akademi yang ditaja Mara juga mesti ada perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menjamin pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang bakal mendapat pembiayaan Mara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarat minimum permohonan termasuk calon daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurutnya, meskipun tawaran itu dibuka kepada semua pelajar berkelayakan, keutamaan akan diberikan kepada tahfiz aliran STEM.

“Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga. Fasa terakhir temuduga adalah dengan Pengerusi Mara sendiri untuk sesi Tebuk Hafazan atauTasmik Al-Quran,” katanya.

 

 

Scroll to Top