BAITULMAQDIS – Gabungan pemerintah Israel mencadangkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya awal susulan tekanan semakin memuncak terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu daripada parti ultra-Ortodoks yang menjadi sekutunya.
Langkah yang dimulakan oleh parti sayap kanan Likud pimpinan Netanyahu itu mencetuskan spekulasi bahawa kerajaan campuran Israel kini berada di ambang keruntuhan.
Sekiranya rang undang-undang (RUU) tersebut diluluskan, pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh 90 hari.
“Parlimen ke-25 (Knesset) akan dibubarkan sebelum tamat penggalnya. Pilihan raya akan diadakan pada satu tarikh yang tidak boleh ditetapkan lebih awal daripada 90 hari selepas undang-undang ini diluluskan,” menurut draf RUU yang dikeluarkan Likud pada Rabu.
Cadangan itu turut ditandatangani ketua enam kumpulan Parlimen dalam kerajaan gabungan pemerintah.
Media Israel melaporkan RUU tersebut dijangka dibentangkan untuk pengundian pada 20 Mei dan dijangka mudah diluluskan.
Sekiranya itu berlaku, pilihan raya boleh diadakan seawal minggu ketiga Ogos, kira-kira dua bulan sebelum penggal asal Parlimen tamat pada 27 Oktober.
Parti ultra-Ortodoks menuduh Netanyahu gagal menunaikan janji meluluskan undang-undang yang memberikan pengecualian tetap kepada pelajar lelaki sekolah agama Yahudi atau yeshiva daripada menjalani khidmat ketenteraan wajib.
Dalam perkembangan sama, beberapa parti pembangkang turut mengumumkan rancangan membentangkan usul mereka sendiri bagi membubarkan Knesset, sekali gus menunjukkan ketidakstabilan politik yang semakin ketara.
Namun, pengumuman Likud dilihat sebagai langkah awal Netanyahu untuk menguasai jadual pilihan raya dan mengelakkan pembangkang mendahului langkah politik tersebut.
Ketua pembangkang utama Israel, Yair Lapid yang mengetuai parti tengah Yesh Atid, segera memberi reaksi menerusi platform X.
“Kami bersedia. Bersama,” katanya merujuk kepada pakatan politik baharu Beyahad (Bersama) yang dibentuk bersama bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett.
Bulan lalu, Lapid dan Bennett mengumumkan akan bertanding menggunakan satu gabungan dalam pilihan raya akan datang.
Kedua-dua pemimpin itu lantang mengkritik pengendalian Netanyahu terhadap konflik bersenjata sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, termasuk menyifatkan gencatan senjata dengan Iran baru-baru ini sebagai ‘bencana politik’.
Netanyahu, 76, yang dianggap antara tokoh politik paling berpengaruh dan bertahan lama di Israel, turut mengesahkan beliau akan bertanding semula walaupun sedang berdepan perbicaraan rasuah berpanjangan.
Beliau juga baru-baru ini memaklumkan telah menjalani pembedahan kanser prostat.
Netanyahu merupakan Perdana Menteri paling lama memerintah Israel dengan tempoh lebih 18 tahun sejak 1996.
Tinjauan politik yang diterbitkan penyiar awam Israel, Kan pada Selasa menunjukkan Likud masih mendahului sokongan pengundi dengan 26 kerusi daripada 120 kerusi Knesset, namun menurun berbanding 32 kerusi sebelum ini.
Gabungan Beyahad dijangka memperoleh 25 kerusi, manakala parti Yashar yang dipimpin bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot berada di tempat ketiga.
Walaupun begitu, tiada mana-mana blok politik dilihat mampu membentuk kerajaan dengan mudah susulan landskap politik Israel yang semakin berpecah.
Ramai rakyat Israel terus menyalahkan Netanyahu atas kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan besar Hamas pada Oktober 2023.
Sejak itu, beliau berikrar untuk mencapai ‘kemenangan mutlak’ terhadap Hamas di Gaza, HIzbUllah di Lubnan dan Iran, namun matlamat tersebut masih belum tercapai selepas lebih dua tahun konflik pelbagai medan.
Lapid dan Bennett dijangka menjadikan tuntutan penubuhan suruhanjaya siasatan kebangsaan berhubung serangan 7 Oktober serta pelaksanaan khidmat ketenteraan wajib ke atas golongan ultra-Ortodoks sebagai antara fokus utama kempen pilihan raya mereka. – Agensi



