MAKKAH – Persediaan operasi kemuncak haji, Masyair bagi musim 1447H kini mencapai tahap kesiapsiagaan lebih 90 peratus dengan pelbagai penambahbaikan menyeluruh dilaksanakan demi menjamin keselesaan jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Arafah dan Mina.
Operasi yang dijadual berlangsung bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bersamaan 25 hingga 29 Mei itu bakal menyaksikan hampir dua juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di lokasi sama bagi menunaikan wukuf di Arafah sebelum bergerak ke Muzdalifah dan Mina.
Tinjauan media bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad bermula di Arafah sebelum diteruskan ke Mina bagi melihat sendiri kesiapsiagaan operasi Masyair yang kini memasuki fasa akhir persediaan.
Di Arafah, suasana khemah yang sedang melalui sentuhan akhir jelas memperlihatkan usaha besar dilakukan TH demi memberikan pengalaman ibadah yang lebih baik kepada jemaah Malaysia.
Tahun ini, khemah baharu diperkenalkan dengan material penebat haba bagi membantu mengurangkan kepanasan di dalam khemah yang sebelum ini sering menjadi cabaran utama ketika operasi Masyair.

Sofa bed antara kemudahan baru yang disediakan buat jemaah dalam khemah di Arafah.
Malah, unit penyaman udara jenis split unit turut dipasang di atas setiap khemah supaya bahang daripada unit outdoor tidak lagi dirasai di laluan pejalan kaki.
Menurut Mustakim, setiap penambahbaikan dilakukan dengan satu matlamat utama iaitu memastikan jemaah dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah tanpa dibebani isu keselesaan dan logistik.
“Kita mahu jemaah datang ke sini dengan tenang. Bila suasana lebih selesa, insya-ALLAH mereka boleh fokus kepada ibadah dan mencapai haji mabrur,” katanya ketika ditemui semasa lawatan di Mina.
Di Mina pula, perubahan yang dilakukan lebih ketara apabila setiap jemaah akan disediakan sofa bed individu yang boleh dilaraskan sama ada untuk duduk atau berbaring mengikut keselesaan masing-masing.
Bagi mengelakkan kekeliruan dalam keadaan jutaan manusia berhimpun di kawasan yang padat, setiap sofa bed turut dilengkapi sistem tagging khas yang memaparkan nama dan gambar jemaah.
TH turut menyediakan ruang penyimpanan khas di bahagian atas tempat penginapan bagi meletakkan beg serta barangan peribadi supaya ruang lantai lebih kemas dan selesa digunakan.
Dalam masa sama, jumlah tandas di Mina juga ditingkatkan secara drastik daripada sekitar 100 unit kepada 600 unit bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku ketika operasi Masyair.
Selain itu, kemudahan soket pengecas telefon turut disediakan di setiap sofa bed di Mina hasil kerjasama bersama Holiday In Bakah, manakala di Arafah kemudahan pengecasan disediakan secara berpusat.
Tidak hanya memberi perhatian kepada keselesaan, TH turut memperkenalkan konsep ‘Green Hajj’ menerusi usaha mengurangkan suhu panas dalam khemah selain penggunaan kain ihram kitar semula sebagai sokongan terhadap elemen kelestarian.
Menurut Mustakim, semua usaha itu bukan sekadar penambahbaikan fizikal, sebaliknya sebahagian ikhtiar untuk mengurangkan kesesakan, memudahkan operasi petugas serta membantu jemaah melalui kemuncak ibadah haji dengan lebih lancar dan teratur.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya mematuhi arahan TH dan sentiasa berada di maktab masing-masing bagi mengelakkan risiko tersasar memandangkan kawasan Arafah dan Mina yang luas serta mempunyai reka bentuk khemah hampir seragam.
Bagi memudahkan pengecaman, setiap maktab dibezakan mengikut warna tertentu selain dilengkapi papan tanda yang jelas di setiap pintu masuk.
Dalam pada itu, jemaah juga diingatkan supaya tidak membawa beg terlalu besar atau makanan secara berlebihan ke Masyair memandangkan segala keperluan asas termasuk makanan, tuala dan kelengkapan mandian telah disediakan secukupnya.
“Bawa seadanya sahaja supaya tidak menyukarkan pergerakan dan tidak mengambil ruang yang besar di kawasan penginapan,” katanya.



