puterialia@hmetro.com.my
Shah Alam : Konsistensi dalam menghasilkan kandungan kreatif dan video nyanyian semula di media sosial menjadi strategi utama kumpulan nasyid, Rabithah, untuk kekal relevan dalam industri muzik tanah air.
Rabithah yang dianggotai Muhammad Mahdi Mohd Tholaat, Mohd Ayman Hakimi Abdul Wahab dan Ahmad Ridwan Rais Aktifanus ini aktif memanfaatkan platform Instagram (IG) sebagai medium dakwah kreatif, khususnya dalam menarik perhatian generasi Z (Gen Z).
Menurut Ridwan, selain mengasah vokal, penghasilan video ‘cover’ lagu-lagu tular adalah langkah proaktif mereka untuk sentiasa tampil aktif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada undangan persembahan pentas.
“Pertama sekali kami adalah penyanyi, jadi kami kena selalu menyanyi. Undangan persembahan adalah sesuatu yang berada di luar kawalan kami.
“Saya pernah berbual dengan penyanyi, Firdaus Rahmat mengenai cara untuk kekal relevan dan dia nasihatkan kami untuk sentiasa berkarya. Kuncinya adalah konsistensi.
“Jadi, melalui video ‘cover’ inilah cara kami untuk kekal aktif dan kekal relevan dalam industri seni ini,” katanya ketika ditemui.
Menyentuh mengenai sambutan luar biasa yang diterima, Mahdi berkata, kandungan tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas mereka beralih kepada format video yang lebih pendek demi menyesuaikan diri dengan trend semasa.
“Ada beberapa lagu yang kami nyanyikan itu memang tular. Kami tidak mahu orang anggap kami hanya menyanyi lagu nasyid sahaja.
“Jadi, kami dekati masyarakat dengan memilih lagu-lagu yang ‘viral’. Walaupun bukan lagu nasyid, kami tukar liriknya agar masyarakat mendapat mesej yang baik,” tambah Ridwan yang menyifatkan media sosial sebagai medium dakwah terbaik pada masa kini.
Sementara itu, Ayman menegaskan pegangan teguh Rabithah terhadap pesanan bermakna daripada pengasas bersama francais Little Caliphs International Sdn Bhd, Datuk Roslan Nordin, yang menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus melangkah.
“Saya ingat lagi pesanan Datuk Roslan, jika Rabithah menyanyi tetapi tidak mendekatkan orang kepada Allah dan Rasul, maka perkara itu adalah sia-sia.
“Pesanan itu yang memberi semangat kepada kami untuk mengubah lirik lagu asal kepada lirik yang mengingatkan masyarakat kepada kebaikan, Allah dan Rasul,” katanya kepada Harian Metro.
© New Straits Times Press (M) Bhd




