kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: AFFIN Group memperkenalkan AFFIN ‘KITA BOMBA’ Debit Mastercard sebagai tanda penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pesara serta ahli keluarga layak dalam usaha mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.
Kad debit berkenaan dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha AFFIN memperkukuh penawaran perbankan yang lebih progresif dan inovatif dengan menggabungkan keperluan kewangan dan gaya hidup harian pelanggan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pelancaran kad itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam menawarkan pengalaman perbankan lebih bersasar dan dekat dengan komuniti.
“Kad ini direka khusus untuk komuniti bomba Malaysia. Ia mencerminkan usaha AFFIN menyediakan penyelesaian kewangan lebih peribadi, relevan dan berasaskan keperluan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, AFFIN terus memberi fokus kepada pembangunan inovasi yang menghubungkan perkhidmatan kewangan dengan gaya hidup pelanggan, selari dengan pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 yang berteraskan perkhidmatan pelanggan unggul, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab.
Selain itu, antara keistimewaan ditawarkan termasuk pengecualian yuran kad debit seumur hidup, kemudahan perbankan digital sepenuhnya menerusi aplikasi AffinAlwaysX yang menyediakan pemantauan transaksi masa nyata, notifikasi segera serta alat pengurusan perbelanjaan pintar, selain akses kepada ganjaran gaya hidup seperti perjalanan, hotel dan program kesetiaan.
Rekaan kad turut mengetengahkan ilustrasi helikopter operasi kecemasan, diinspirasikan daripada keupayaan operasi udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ia melambangkan keberanian, kesiapsiagaan serta profesionalisme anggota bomba dalam melindungi komuniti di seluruh negara.
Pelancaran itu turut mengukuhkan rangkaian portfolio kad AFFIN yang semakin pelbagai termasuk kad berasaskan negeri dan komuniti seperti Selangor, Kinabalu dan Kenyalang, selain kad untuk institusi serta anggota beruniform.
Sebagai tanda sokongan berterusan, AFFIN sebelum ini turut menyumbang van jenazah kepada komuniti bomba dan menyertai karnival berkenaan sebagai Rakan Strategik bagi mengeratkan hubungan dengan anggota serta keluarga mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




