SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan segelintir pihak yang memperlekeh kemampuan pelajar tahfiz susulan usaha agensi tersebut mengangkat martabat mereka sebagai golongan profesional termasuk juruterbang.
Beliau berkata, komen negatif yang ditinggalkan jelas memandang rendah keupayaan golongan huffaz sedangkan pencapaian mereka dalam akademik terbukti cemerlang.
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar tahfiz ini cikai-cikai ke? Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lepas pun menunjukkan lapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul-Albab yang semua pelajar hafaz 30 Juzuk Al-Quran berada pada kedudukan 20 sekolah terbaik Malaysia.
“Seramai 221 pelajar Huffaz MRSM mendapat semua A dalam mata pelajaran termasuk Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Mara akan membuka tawaran pembiayaan pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang dengan keutamaan kepada pelajar tahfiz.
Fasa terakhir temu duga program itu akan dikendalikan sendiri Asyraf Wajdi menerusi sesi tasmik atau #TebukAl-Quran, sekali gus pelajar baharu yang mahu memohon kadet juruterbang mesti memenuhi syarat asas ditetapkan akademi latihan penerbangan berkaitan.
Asyraf Wajdi menegaskan, selagi beliau diberi amanah menerajui Mara, usaha memartabatkan agenda memprofesionalkan golongan huffaz akan terus diperkasakan.



