SHAH ALAM – Keputusan UMNO Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak boleh dianggap sebagai ugutan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menegaskan tindakan itu juga bukan satu bentuk pengkhianatan kerana UMNO Johor telah menyatakan pendirian lebih awal secara terbuka dan telus.
“Di Johor tidak wujud Kerajaan Perpaduan dan tidak timbul soal khianat. UMNO Johor bertindak jujur kerana mengumumkan awal dan secara terbuka.
“UMNO Johor berterus terang, bukan khianat seperti di Sabah. Sudah tahu UMNO letak calon di Kambaong, tetapi kenapa pada minit terakhir PH (Pakatan Harapan) letak calon dari DAP, Noorita Sual di situ?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika konvensyen gabungan itu di Johor, memberi amaran kepada semua pihak agar tidak cuba mengugut atau mengkhianati kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak gentar dengan sebarang ugutan kerana telah melalui pelbagai pengalaman termasuk dipenjarakan, selain menegaskan tidak akan takut dengan tindakan pihak yang disifatkannya sebagai budak-budak.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, sekiranya ada pihak yang benar-benar penat dengan Kerajaan Perpaduan, mandat wajar dikembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi melibatkan seluruh negara selaras dengan semangat reformasi.
Sementara itu, Mohd Puad menjelaskan, Barisan Nasional (BN) bukan komponen PH sebaliknya kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan diwujudkan bagi memastikan kestabilan kerajaan dan mengelakkan situasi kerajaan tergantung.
“Jadi, jangan kebudak-budakan menuduh orang lain sebagai budak. Di mana ‘bil hikmahnya? Johor tetap jadi Johor,” ujarnya.



