SHAH ALAM – Desakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima geran luar negara disiasat adalah ‘playbook’ atau taktik sama pernah digunakan UMNO terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) suatu ketika dahulu.
Empat bekas pimpinan Bersih 2.0 berkata, pendirian itu bercanggah dengan prinsip dan asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lahir daripada gerakan reformasi bagi menegakkan keadilan dan melawan penindasan.
Menurut mereka, sejarah membuktikan gerakan Reformasi pada 1997 dan 1998 bermula menerusi penubuhan sebuah NGO iaitu Angkatan Demokrasi dan Keadilan Rakyat (ADIL) yang kemudiannya menjadi asas kepada kelahiran PKR.
“Alasan bahawa saat ini adalah tempoh krisis dan tidak boleh ada sebarang persoalan terhadap perkembangan negara adalah alasan tidak munasabah kerana pada zaman 1998, Malaysia sedang berhadapan dengan krisis seumpama yang besar iaitu sebahagian Krisis Kewangan Asia.
“Pendirian Ketua AMK tidak mencerminkan budaya dan prinsip Madani itu sendiri yang berasal daripada bahasa Arab dan mengiktiraf peranan masyarakat sivil dalam komuniti berilmu dan bertamadun,” katanya dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; bekas Pengurus Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh dan bekas Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Jay Jay Denis.
Pada Ahad, media melaporkan AMK menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dakwaan penyaluran dana asing kepada individu, ahli politik dan pertubuhan tertentu yang digunakan bagi menggerakkan propaganda politik serta operasi tentera siber di negara ini.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana menyentuh soal keselamatan, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi negara.
Dalam pada itu, bekas pimpinan Bersih itu menambah, sebahagian besar pimpinan PKR yang kini memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri termasuk bekas Ketua AMK sendiri pernah terlibat secara aktif dalam NGO sebelum ini.
Menurut mereka, individu pernah berkhidmat dalam NGO memahami kebanyakan organisasi perlu bergantung kepada geran dalam dan luar negara bagi menjalankan penyelidikan ataupun program kerana sebahagian besar tidak menerima dana kerajaan.
Kongsi mereka, selain taktik terbabit, UMNO pernah menggunakan Akta SOSMA atas alasan melindungi keselamatan negara kerana takut terhadap NGO.
Dalam pada itu, mereka berkata, AMK seharusnya mencontohi pendekatan Perdana Menteri yang menggunakan hujah dalam menjelaskan isu negara dan bukannya menyalahgunakan kuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, situasi berkenaan juga dilihat sebagai peluang kepada pemimpin berpengalaman dalam PKR untuk memberi pemahaman lebih mendalam kepada generasi muda AMK mengenai sejarah berkaitan.



