
Fuziah (tengah) pada Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Johor Bahru pada Isnin.
JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir dan bergambar bersama bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam program pengumuman hala tuju politik di sini pada Ahad.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR termasuk kemungkinan tindakan lanjut terhadap semua yang terlibat.
“Kita akan bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Biro Politik PKR esok. Apa-apa kita akan bincang perkara ni,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini pada Isnin.
Pada Ahad, beberapa Ahli Parlimen PKR dilihat hadir dan bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi ketika kedua-dua pemimpin itu mengumumkan keputusan keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
Antara Ahli Parlimen yang terlibat ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan akan keluar daripada PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa Isnin.



