Riyadh: Cristiano Ronaldo mencetuskan perdebatan hangat dalam dunia bola sepak selepas beliau membuat keputusan berjalan terus ke terowong tanpa mengambil pingat naib juara selepas kekalahan Al Nassr dalam final Liga Juara-Juara Asia Dua, semalam.
Al Nassr tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Gamba Osaka dengan Ronaldo kelihatan sangat emosional sejurus wisel penamat dibunyikan. Namun apa yang lebih mengejutkan ramai peminat ialah tindakan beliau selepas itu.
Ketika seluruh skuad Al Nassr yang diketuai jurulatih Jorge Jesus naik ke pentas untuk menerima pingat naib juara, bintang Portugal itu memilih untuk berjalan bersendirian terus ke bilik persalinan.
Momen tersebut pantas tular di media sosial dan membahagikan peminat kepada dua kem berbeza. Ramai mengecam tindakan Ronaldo dan menganggap ia sebagai semangat kesukanan yang lemah selain mempersoalkan kepimpinannya sebagai kapten.
Pengkritik berpendapat meninggalkan rakan sepasukan ketika majlis penyampaian pingat memberi mesej yang tidak baik, terutama dalam kejohanan sebesar itu.
Namun begitu, ada juga yang mempertahankan ikon berusia 41 tahun itu dengan penuh semangat. Bagi mereka, keengganan Ronaldo meraikan tempat kedua menunjukkan mentaliti luar biasa yang menjadikannya antara pemenang terhebat dalam sejarah bola sepak.
Penyokong beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mentaliti seorang atlet yang terlalu benci kepada kekalahan.
Kekalahan itu juga menambah satu lagi episod pahit dalam usaha Ronaldo memburu trofi sejak menyertai Al Nassr.
Walaupun masih menjaringkan gol pada tahap elit, penyerang Portugal itu kini sudah tewas dalam empat final utama bersama kelab Arab Saudi tersebut sejak tiba tiga tahun lalu.
Satu-satunya trofi Ronaldo bersama Al Nassr setakat ini ialah Arab Club Champions Cup pada 2023, kejohanan yang tidak diiktiraf FIFA sebagai pertandingan benua utama rasmi.
Namun musim Al Nassr masih belum berakhir. Ronaldo dan rakan sepasukannya kini berada di kedudukan terbaik untuk menjuarai Liga Pro Saudi.
Al Nassr ketika ini mendahului pencabar utama Al Hilal dengan kelebihan dua mata menjelang aksi terakhir musim ini, bermakna kemenangan menentang Damac bakal menghadiahkan Ronaldo trofi rasmi utama pertamanya dalam bola sepak Arab Saudi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




