Pelancongan perubatan negara kekal rancak walaupun SST diperkenal

Pelancongan perubatan negara kekal rancak walaupun SST diperkenal
Pelancongan perubatan negara kekal rancak walaupun SST diperkenal

Sektor pelancongan perubatan negara terus mencatat pertumbuhan positif apabila hospital swasta di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang masih menerima kehadiran tinggi pesakit luar negara – Gambar kecil (Amir Hamzah)

GEORGE TOWN — Sektor pelancongan perubatan negara terus mencatat pertumbuhan positif apabila hospital swasta di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang masih menerima kehadiran tinggi pesakit luar negara bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia kekal menjadi pilihan pelancong perubatan berikutan kos rawatan yang kompetitif selain menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Menurutnya, permintaan terhadap perkhidmatan perubatan negara juga terus meningkat walaupun kerajaan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas sektor penjagaan kesihatan swasta.

“Pelancongan perubatan masih kukuh. Jika anda datang ke Island Hospital di Pulau Pinang, sebahagian besar pesakitnya ialah warga asing kerana Malaysia masih menawarkan perkhidmatan kesihatan yang baik pada kadar munasabah.

“Begitu juga di hospital-hospital di Johor dan Lembah Klang yang menyaksikan peningkatan pelancong luar negara datang mendapatkan rawatan perubatan. Ini merupakan sektor yang sedang berkembang dan perlu terus disokong,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Projek Intel Pelican di Bayan Lepas di sini pada Isnin.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut menyediakan beberapa pengecualian tertentu dalam pelaksanaan SST bagi memastikan langkah percukaian tersebut tidak memberi tekanan kepada rakyat.

Menurut beliau, pelaksanaan SST dibuat bagi memperkukuh sumber hasil kerajaan selain menambah ruang fiskal negara untuk menampung pelbagai perbelanjaan.

“Kutipan SST yang diterima akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan bagi menyokong perbelanjaan fiskal kerajaan secara keseluruhan.

“Kita hanya memberikan pengecualian dalam beberapa perkara tertentu yang mempunyai tujuan jelas seperti cukai gula yang dinaikkan tahun lalu untuk membantu usaha menangani penyakit berkaitan diabetes, buah pinggang dan sebagainya,” katanya.

Bermula 1 Julai tahun lalu, pengendali penjagaan kesihatan swasta yang mencatat hasil tahunan melebihi RM1.5 juta dikenakan levi enam peratus bagi perkhidmatan kepada bukan warganegara.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia dikecualikan daripada cukai tersebut termasuk bagi perkhidmatan kesihatan tradisional dan kesihatan bersekutu.

Scroll to Top