saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan akan memulakan inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional dalam Kecerdasan Buatan (TVET-AI) di lima Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih pada tahun ini sebelum dikembangkan lagi pada masa hadapan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, justeru satu kerjasama strategik dimeterai bersama-sama Universiti Multimedia (MMU) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) bagi memperkukuh (TVET-AI) di SBP.
“Kerjasama ini adalah cerminan komitmen KPM bagi memastikan agenda reformasi pendidikan yang memacu kecemerlangan akademik dengan kemahiran teknikal masa hadapan menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI).
“Langkah strategik ini memberi nilai tambah signifikan kepada usaha KPM untuk meningkatkan kebolehpasaran murid melalui penyediaan sijil profesional Huawei Certified ICT Associate – Artificial Intelligence (HCIA-AI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” menurut KPM dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan KPM melancarkan Rangka Pendidikan 2026-2035 bagi mengintegrasikan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kurikulum sekolah.
Langkah strategik ini bertujuan meningkatkan daya saing murid dalam ekonomi digital global bermula tahun hadapan.
Dalam pada itu, KPM berkata, prakarsa TVET-AI juga bertepatan dengan agenda Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
“Ia memberikan tumpuan kepada penciptaan bakat masa hadapan, memperkukuh ekosistem pendidikan TVET serta menggalakkan kerjasama strategik dengan industri dan akademia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




