Jakarta: Indonesia terus mempergiat usaha bagi membebaskan empat rakyatnya yang menjadi sebahagian daripada 16 kru kapal tangki MT Honour 25 yang ditawan lanun Somalia sejak 22 April lepas, ketika belayar di perairan berhampiran Hafun di wilayah Puntland, timur laut Somalia.
Kementerian Luar Indonesia berkata pihaknya bersama misi diplomatiknya terus melakukan koordinasi intensif dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara susulan kes terbabit.
“Saat ini, proses rundingan antara pihak pemerintah setempat, pengurusan kru, dan pihak terkait lainnya di Somalia masih terus berlanjutan.
“Besar harapan proses rundingan pembebasan dapat selesai dalam tempoh yang tidak terlalu lama,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Isnin.
MT Honour 25 yang membawa produk petroleum mempunyai 16 kru terdiri daripada empat warga Indonesia, 10 warga Pakistan serta masing-masing seorang warga India dan Myanmar.
Kementerian itu berkata berdasarkan maklumat diperoleh daripada pelbagai pihak, seluruh kru warga Indonesia dilaporkan dalam keadaan sihat, keperluan logistik mencukupi dan gaji mereka terus dibayar.
“Kementerian Luar, Kementerian Perhubungan, dan pihak-pihak terkait juga telah berhubung dengan keluarga kru serta menyampaikan bahawa kerajaan akan terus melakukan usaha terbaik untuk melindungi warganegara Indonesia di luar negeri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




