Pearly tarik diri daripada Malaysia Masters

Pearly tarik diri daripada Malaysia Masters

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan menarik diri daripada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 yang bermula esok di Unifi Arena, Bukit Jalil dekat ibu negara ekoran kecederaan belakangnya masih belum pulih sepenuhnya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan penarikan diri tersebut, hari ini dan ketiadaan Pearly yang bergandingan bersama M. Thinaah bermakna Malaysia meletakkan harapan kepada gandingan muda dalam acara beregu wanita.

Malah, kelibat Pearly juga tidak kelihatan sewaktu sesi ujian gelanggang yang diadakan pada sebelah pagi tadi.

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, seperti semua sedia maklum, Pearly mengalami kecederaan belakang yang memaksanya untuk tidak menyertai Piala Uber, baru-baru ini, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.

“Proses pemulihan itu ada menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan Pearly sendiri mempunyai keinginan yang tinggi untuk beraksi di kejohanan Malaysia Masters kali ini.

“Walaupun perkembangan pemulihan berjalan dengan baik, saya selaku jurulatih berpendapat bahawa masih terlalu awal untuk Pearly kembali beraksi.

“Kami tidak mahu mengambil risiko yang besar memandangkan masih banyak kejohanan utama yang bakal dia sertai selepas ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Rosman, setelah berbincang bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Malaysia, Rexy Mainaky, pihaknya mengambil keputusan Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu tidak akan menyertai edisi kali ini.

“Kami memahami sentimen dan harapan tinggi untuk melihat mereka beraksi di gelanggang sendiri, namun, keputusan ini dibuat demi memastikan proses pemulihan Pearly berada pada tahap terbaik,” tegasnya.

Beliau turut mengesahkan penyertaan Pearly-Thinaah di Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia juga masih bergantung kepada keadaan serta tahap kecergasan semasa pemain itu.

“Diharapkan semua peminat terus mendoakan agar Pearly diberikan kesembuhan sepenuhnya dan dapat kembali beraksi dengan lebih kuat,” ujarnya.

Ketiadaan beregu No. 1 Malaysia itu, meninggalkan beregu muda yang menghuni ranking No. 25 dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng menggalas cabaran negara.

Selain dua beregu tersebut, turut beraksi pada Malaysia Masters ialah gandingan remaja yang sedang meningkat naik, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan dan Cheng Su Hui-Tan Zhing Hui. – UTUSAN

Scroll to Top