puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Scoin, Wan kini berehat di rumahnya di Felda Chemplak Barat, Labis, Johor selepas dibenarkan keluar dari Hospital Segamat sejak dua hari lalu.
Isterinya, Siti Rafidah Abdul Mokti, 37, berkata suaminya bagaimanapun tidak dibenarkan melakukan kerja berat atau aktiviti lasak atas faktor kesihatan.
“Alhamdulillah, proses rawatan untuk mencairkan darah berjalan dengan lancar. Cuma, kesan daripada pengambilan ubat-ubatan itu membuatkan dia mengalami sakit-sakit badan dan kaki buat masa ini.
“Abang Wan kini memang berada di rumah dan memerlukan rehat yang secukupnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurut Siti Rafidah, Wan atau nama sebenarnya Redzuan Abdul Manan, 45, turut dibekalkan ubat-ubatan dan perlu menjalani pemeriksaan susulan di hospital.
“Doktor ada berikan ubat dan selepas ini akan ada pemeriksaan susulan di hospital kerana doktor mahu memantau semula keadaan saluran darah yang tersumbat tempoh hari, sama ada ia teruk ataupun tidak.
“Mudah-mudahan salurannya tidak terus tersumbat sehingga dia perlu menjalani pembedahan.
“Saya amat berharap agar keadaannya tidak sampai perlu dibedah. Doktor akan berikan tarikh janji temu baharu dalam masa terdekat ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan dilaporkan rebah di rumahnya selepas mengadu sakit dada dan ditempatkan di zon kuning Hospital Segamat pada 10 Mei lalu.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati Wan mengalami saluran darah tersumbat meskipun sebelum ini tidak pernah mempunyai sebarang penyakit kronik atau masalah berkaitan jantung.
Disebabkan itu, Wan turut menjalani empat kali proses rawatan pencairan darah bagi membolehkan doktor mengenal pasti tahap kesihatan jantungnya dengan lebih terperinci.
© New Straits Times Press (M) Bhd




