
Muhammad Kamil Abdul Munim
SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan dakwaan mahu agensi penguat kuasa menggeledah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara sewenang-wenangnya.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim sebaliknya berkata, kenyataannya sebelum ini merujuk kepada dakwaan penyelewengan dana asing yang diterima sebuah syarikat swasta untuk aktiviti tertentu bagi tujuan tertentu.
“Apabila dakwaan sedemikian timbul, adakah wajar kita sebagai masyarakat sivil yang bertanggungjawab terus membiarkan tuduhan ini tanpa sebarang siasatan atau tindakan?
“Sejak bila gesaan menyiasat aliran tunai atau dana asing yang diterima sebuah syarikat swasta dianggap ancaman kepada demokrasi dan mencabuli prinsip kebebasan?” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini empat bekas pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 yang mengkritik gesaan dan menganggao pendirian itu bercanggah dengan prinsip dan asas penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu Muhammad Kamil menyifatkan tindakan menyamakan gesaan siasatan itu dengan pendekatan rejim terdahulu sebagai tidak tepat dan tersasar daripada konteks sebenar.
Menurutnya, PKR sejak awal penubuhannya didukung oleh gerakan massa serta pertubuhan masyarakat sivil yang berpegang teguh kepada prinsip reformasi.
“Saya tidak pasti adakah mereka benar-benar meneliti secara waras dan adil terhadap keseluruhan kenyataan tersebut atau ada pihak tertentu mempengaruhi dengan memutar belit kenyataan dan berselindung disebalik istilah pertubuhan masyarakat sivil bagi mengalih perhatian terhadap dakwaan sedang berlegar ini.
“PKR tidak pernah menafikan sumbangan dan jasa pertubuhan masyarakat sivil dalam usaha mengangkat kesedaran dan menyubur kefahaman demokrasi negara, seterusnya mendukung agenda reformasi,” ujarnya.
Muhammad Kamil menegaskan, isu yang dibangkitkan ketika ini melibatkan dakwaan yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.
Justeru beliau mengingatkan bahawa demokrasi dan kebebasan tidak bermaksud mana-mana pihak bebas melangkaui garis-garis tertentu yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan negara.



