Malaysia jumpa Vietnam di separuh akhir kuadran

Malaysia jumpa Vietnam di separuh akhir kuadran

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad kuadran negara selangkah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan menumbangkan Filipina 2-0, sebentar tadi.

Walaupun agak bergelut di set pertama Afifuddin Razali (perejam) Shahalril Aiman Halim (perejam), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan/ketua pasukan) berjaya mencatat kemenangan 15-13.

Dalam aksi set kedua usaha kuartet Filipina, Jason Huerte, Rheyjey Ortouste, Datu Ken Interino dan Reynaldo Asilum untuk bangkit tidak kesampaian apabila mereka ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 10-15.

Menanti Malaysia di separuh akhir esok ialah Vietnam selepas mereka berjaya menumpaskan Brunei 2-0 pada aksi yang berlangsung lebih awal.

Tahun lalu skuad kuadran berjaya membuatkan Stadium Titiwangsa gegak-gempita selepas mereka muncul juara Piala Asia dengan menumpaskan Jepun 2-0 dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, Shahalril Aiman, mengakui mereka agak lesu dalam aksi menentang Filipina disebabkan dua perlawanan yang diheret sehingga ke set penentuan semalam ketika menentang Korea Selatan dan India di peringkat kumpulan.

“Badan agak lesu sikitlah, tapi kami cuba atasi dengan penuh bersemangat. Dengan semangat itulah kami cuba melayakkan diri ke separuh akhir.

“Bagi aksi separuh akhir menentang Vietnam esok kami akan cuba atasi segala kelemahan terutama dari segi hadangan dan rejaman,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir esok akan menemukan, Myanmar dan India, tatkala Thailand gagal melepasi saingan suku akhir.

Myanmar mara selepas menumbangkan Thailand 2-1, manakala India pula mengetepikan Taiwan 2-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top