'Saya tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang' – Rodziah

'Saya tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang' – Rodziah

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat di kawasan diwakilinya.

Rodziah berkata, amanah yang diberikan oleh rakyat akan terus beliau junjung setiap hari di Parlimen, lapangan bersama masyarakat, dalam perbincangan dasar atau dalam apa jua ruang yang membolehkan suara rakyat Ampang dibawa dan diperjuangkan.

“Saya sudah melalui perjalanan politik yang panjang, penuh cabaran dan pengorbanan.

“Oleh itu, saya tidak mudah tergugat dengan tuduhan atau label yang dilemparkan hanya kerana wujud perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menanggapi sesuatu perkara.

“Dalam sebuah demokrasi yang matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan…. Bertanya bukan penderhakaan.

“Berfikir sebelum membuat keputusan juga bukan pengkhianatan. Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau dilihat hadir pada majlis pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.

Rodziah berkata, apa yang lebih penting ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara agar tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan.

Selain itu katanya, kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok.

“Kerusi ini adalah amanah rakyat. Selagi rakyat masih memberi kepercayaan kepada saya, selagi itulah saya akan terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.

“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top