MALE – Misteri kematian lima penyelam skuba warga Itali yang hilang ketika meneroka gua dasar laut di Maldives minggu lalu kini menjadi perhatian pakar penyelaman antarabangsa selepas mayat mangsa berjaya ditemukan.
Kerajaan Maldives memaklumkan, empat mayat penyelam yang sebelum ini hilang di kawasan Vaavu Atoll berjaya dikesan, manakala seorang lagi mangsa ditemukan berhampiran pintu masuk gua pada hari kejadian, Khamis lalu.

Cuaca bergelora serta arus kuat dipercayai boleh menyebabkan penyelam hilang arah, mengganggu penglihatan dan menyukarkan mereka mencari laluan keluar dari gua.
Menurut Kementerian Luar Itali, kumpulan lima penyelam itu dipercayai memasuki sistem gua bawah laut pada kedalaman kira-kira 50 meter, jauh melebihi had selaman rekreasi yang dibenarkan iaitu sekitar 30 meter.
Operasi mencari sebelum ini terpaksa dihentikan sementara selepas seorang anggota penyelam tentera Maldives maut akibat penyakit penyahmampatan ketika menyertai misi menyelamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyelam maut ketika cari empat mayat pelancong di gua dasar laut
Misi keluarkan mayat pelancong laut Maldives sebelum dibaham jerung

Dari kiri, Monica Montefalcone, Muriel Oddenino, Giorgia Sommacal dan Federico Gualtieri.
Jurucakap Presiden Maldives, Mohamed Hussain Shareef berkata, anggota Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF), Mohamed Mahudhee meninggal dunia selepas dipindahkan ke hospital di ibu negara pada Sabtu.
Beliau berkata, tiga penyelam pakar dari Finland yang berpengalaman dalam selaman gua dan laut dalam kini tiba di Maldives bagi membantu merangka strategi baharu operasi pencarian.
Mahudhee selamat dikebumikan dengan penghormatan ketenteraan dalam istiadat yang turut dihadiri Presiden Maldives, Mohamed Muizzu.

Operasi mencari sebelum ini terpaksa dihentikan sementara selepas seorang anggota penyelam tentera Maldives maut akibat penyakit penyahmampatan ketika menyertai misi menyelamat.
Penyakit penyahmampatan berlaku apabila gas seperti nitrogen membentuk gelembung dalam tisu badan akibat pendakian terlalu cepat dari dasar laut, sekali gus menghalang aliran darah dan boleh membawa maut.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, pihaknya akan melakukan segala usaha untuk membawa pulang mayat mangsa ke Itali selain merakamkan ucapan takziah atas kematian Mahudhee.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Monica Montefalcone, pensyarah ekologi di Universiti Genoa; anak perempuannya Giorgia Sommacal; ahli biologi marin Federico Gualtieri; penyelidik Muriel Oddenino; dan jurulatih selaman Gianluca Benedetti.

Anggota Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF), Mohamed Mahudhee meninggal dunia ketika melakukan misi menyelamat.
Mayat Benedetti ditemukan berhampiran mulut gua pada hari kejadian, manakala empat lagi dipercayai memasuki bahagian dalam sistem gua tersebut.
Teori Oksigen Beracun
Walaupun tiada saksi terselamat untuk menjelaskan apa yang berlaku di dalam gua itu, pakar mula membentuk beberapa teori berdasarkan struktur lokasi dan keadaan mayat mangsa.
Sistem gua berkenaan terdiri daripada tiga ruang besar yang dihubungkan laluan sempit, terowong dan struktur karang dengan arus kuat, ruang sempit serta penglihatan yang mudah terganggu akibat kelodak.
Penyelam dilaporkan membuat panggilan kecemasan kira-kira jam 1.45 petang sebelum gagal muncul semula ke permukaan.
Jurulatih selaman, Maurizio Uras percaya insiden itu mungkin berpunca daripada “keracunan oksigen” ketika berada pada kedalaman ekstrem.
Menurutnya, campuran oksigen yang tidak sesuai boleh menjadi toksik pada kedalaman tertentu.
“Lautan Hindi bukan seperti Laut Mediterranean yang lebih tenang. Arus di sana sangat kuat dan boleh menarik penyelam dari pelbagai arah,” katanya kepada agensi berita Itali, Agi.
Keadaan cuaca di kawasan kejadian ketika itu juga dilaporkan buruk dengan amaran kuning dikeluarkan kepada bot penumpang dan nelayan.
Cuaca bergelora serta arus kuat dipercayai boleh menyebabkan penyelam hilang arah, mengganggu penglihatan dan menyukarkan mereka mencari laluan keluar dari gua.
Pakar pulmonologi Itali, Claudio Micheletto pula berkata, kemungkinan berlaku masalah pada tangki oksigen semasa selaman.

Pasukan Pengawal Pantai Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF) menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Vaavu Atoll.-Agensi
Beliau menjelaskan, kematian akibat keracunan oksigen atau hiperoksia merupakan antara komplikasi paling berbahaya dalam selaman laut dalam.
“Apabila seseorang menyedut oksigen pada kepekatan terlalu tinggi, gas itu menjadi toksik kepada tubuh.
“Penyelam boleh mengalami pening, kesakitan, kekeliruan dan hilang kesedaran sehingga gagal kembali ke permukaan,” katanya.
Presiden Persatuan Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik Itali, Alfonso Bolognini pula tidak menolak kemungkinan panik turut menjadi faktor tragedi.
“Dalam gua sedalam 50 meter, masalah kecil atau serangan panik sudah cukup untuk mencetuskan keadaan huru-hara.
“Pergerakan panik boleh menyebabkan air menjadi keruh dan menjejaskan penglihatan sehingga membawa kepada kesilapan maut,” katanya.
Setakat ini, pasukan penyelamat dilaporkan sudah meneroka dua daripada tiga ruang utama gua, namun pencarian di ruang ketiga masih memerlukan perancangan rapi susulan risiko oksigen dan penyahmampatan.



