Kerajaan digesa haramkan tambang 'bidding e-hailing'

Kerajaan digesa haramkan tambang 'bidding e-hailing'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekretariat Rakyat Bertindak (DESAK) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan agar segera mengharamkan model tambang bidding e-hailing, mengkaji semula kenaikan kos insurans e-hailing dan memastikan Akta Pekerja Gig 2025 menyelesaikan isu sebenar pemandu di lapangan.

Penyelaras DESAK merangkap Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, ini disebabkan pemandu e-hailing kini dihimpit dari tiga penjuru.

“Tambang ditekan melalui sistem bidding, kos insurans e-hailing meningkat mendadak sehingga 178 peratus dan Akta Pekerja Gig 2025 belum memberi jawapan jelas terhadap isu pendapatan, kos operasi dan struktur tambang yang tidak adil.

“Sistem bidding e-hailing bukan persaingan sihat. Ia membuka ruang kepada pengguna menetapkan harga perjalanan mengikut kehendak sendiri tanpa mengambil kira kos sebenar pemandu.

“Akibatnya, nilai kerja pemandu seolah-olah boleh ditawar-menawar seperti barang murah, lalu melahirkan tambang yang tidak bermaruah kepada pemandu yang menanggung kos, risiko dan beban operasi setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, model ini menjadi punca kepada kerosakan tambang e-hailing kerana ia tidak lagi ditentukan berdasarkan jarak, masa, kos operasi dan risiko perjalanan, sebaliknya ditekan oleh harga paling murah.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu, malah berisiko menurunkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan risiko keselamatan.

“Apabila tambang terlalu rendah, pemandu terpaksa mengejar lebih banyak trip untuk menampung kos harian, sekali gus meningkatkan tekanan kerja dan keletihan di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memahami pendapatan pemandu e-hailing, khususnya pemandu sepenuh masa, bukan sekadar angka kasar dalam aplikasi.

“Daripada jumlah itulah mereka perlu menanggung kos pekerjaan dan kos sara hidup keluarga.

“Sebagai contoh, DESAK menerima aduan lapangan berhubung perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban yang ditawarkan melalui sistem bidding pada kadar sekitar RM44, sedangkan anggaran tambang biasa bagi laluan sama boleh mencecah sekitar RM90 hingga RM120.

“Jurang ini jelas menunjukkan bagaimana sistem bidding menekan nilai sebenar perjalanan dan memaksa pemandu beroperasi pada kadar yang tidak munasabah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top