nurul_husna@mediaprima.com.my
Bahasa isyarat sebagai pemudah cara dan itu yang dilakukan jururawat, Nurul Shazila Mat Zait yang mahir dengan perkara berkenaan.
Kata jururawat Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor itu, berbanding rasa bangga, dia berasa lebih empati dan bertanggungjawab dengan kelebihan yang ada.
“Saya tidak sangka ilmu yang saya peroleh atas dasar untuk dapat berkomunikasi dengan adik, Nurul Shuhada Mat Zait, berusia 35 tahun, dapat digunakan untuk membantu pesakit OKU pendengaran menjalani rawatan lebih baik.
“Saya perasan, pesakit dalam kalangan OKU pendengaran lebih sensitif dan tidak tahu bagaimana untuk menerangkan penyakit atau masalah kesihatan kepada doktor atau jururawat.
“Mereka mungkin memendam rasa atau rasa tidak puas hati kerana tiada yang dapat membantu meluahkan apa yang dialami.
“Saya gembira kerana ilmu yang saya ada ini membantu pesakit OKU pendengaran meluahkan atau menerangkan masalah yang dihadapi dengan lebih baik,” katanya.
Nurul Shazila pernah tular beberapa kali di TikTok sehingga mendapat perhatian netizen yang kagum cara wanita berusia 39 tahun itu yang sentiasa tenang serta sabar melayani pesakit.
Kata Nurul Shazila, dengan kemampuan berbahasa isyarat itu, tugasnya tidak hanya dilihat sebagai pemberi ubat atau melaksanakan jadual perawatan disediakan doktor.
Dia juga menjadi pemudah cara bagi pengamal perubatan dan kakitangan hospital yang memerlukan penterjemah bahasa isyarat.
“Komen positif diterima juga menjadi pemangkin kepada rakan lain di hospital untuk turut sama mempelajari bahasa isyarat,” katanya lagi.
Pada masa sama, sisi menarik profesyen jururawat juga terungkap menerusi perkongsian Muhamad Fauzi Jaafar yang berkhidmat dalam dunia kerjaya yang didominasi oleh wanita.
Muhamad Fauzi mengakui mendapat pelbagai persepsi reaksi dengan kerjayanya itu.
“Ia ada kaitan dengan aurat pesakit dan pelbagai perkara lain.
“Saya pernah merujuk kepada pejabat mufti berkaitan profesyen ini dan mereka mengatakan, keperluan lelaki dalam profesyen ini ialah fardu kifayah.
“Ada masa jururawat lelaki sangat diperlukan terutama ketika menguruskan pesakit lelaki dan tugas yang memerlukan kudrat lelaki itu sendiri.
“Hal itu juga saya kongsikan terutama di platform TikTok, seluruh_alam, mengenai rutin dan perjalanan dalam kerjaya jururawat ini,” katanya.
Muhamad Fauzi yang juga penerima Anugerah Ikon Media Sosial Kejururawatan 2026 menyifatkan kerjaya murni itu antara profesyen stabil buat lelaki kerana tidak semestinya terikat dengan institusi kesihatan semata-mata.
“Sebenarnya, kerjaya jururawat setakat tamat di hospital atau merawat pesakit semata-mata.
“Ada juga yang menjadi jururawat peribadi atau rumah ke rumah selain berkhidmat di luar negara,” katanya.
Menurut Muhamad Fauzi, dia turut melakukan rawatan pesakit barah paliatif di rumah, membantu rakan sekerja menguruskan pesakit barah yang terlantar atau menjalankan rawatan di rumah.
“Banyak tenaga diperlukan apabila kita bekerja di lapangan,” katanya.
Muhamad Fauzi mengakui, tugas jururawat bukan sekadar perlu kuat daripada segi fizikal, malah psikologi dan rohani.
“Cabaran bukan hanya ketika berhadapan pesakit, pada satu tahap, kita juga perlu ada kekuatan mental dan dalaman,” katanya.
Pada masa sama, kata Muhamad Fauzi, jururawat juga tidak boleh lari daripada pengalaman mistik.
“Saya pernah ‘diganggu’ ketika bertugas syif malam. Lampu penggera menyala menandakan pesakit memanggil jururawat.
“Tetapi apabila tiba di katil, tiada kelibat pesakit dan ia cabaran yang perlu ditangani jururawat,” katanya yang juga pakar motivasi dan penceramah yang menerima tauliah daripada Pejabat Mufti Negeri Sembilan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




