Pengiktirafan di Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026 menerusi Anugerah Utama Pendidikan Profesional dan Sains Sosial disifatkan cukup bermakna buat seluruh warga Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Naib Canselornya, Profesor Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, ia mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menyediakan pendidikan profesional yang berkualiti serta memberi impak tinggi terhadap masyarakat.
Dalam mendepani next move, kata beliau, UPTM memasang tekad untuk memperkasakan lagi jenama dalam konteks hubungan erat dengan industri, dalam masa sama menyediakan sijil profesional bagi memastikan pelajar mendapat manfaat sebaik melangkah keluar daripada universiti.
“UPTM ingin memastikan apabila mahasiswa menamatkan pengajian, mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang bermaruah dan baik.
“Bagi pengurusan universiti pula, kami berazam untuk memposisikan UPTM sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang menjadi rujukan kepada industri dan agensi kerajaan.
“Ini selaras dengan slogan kami Amazing UPTM dan salah satu perkara yang memberikan motivasi utama adalah Together Everyone Achieve More atau semangat dalam gerak kerja berpasukan,” kata Sharifah Syahira.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Sinar Harian selepas BISA 2026 yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Sharifah Syahirah memaklumkan, tiga inisiatif yang menjadi fokus utama UPTM bagi setiap program akademik ditawarkan kepada pelajar antara lain, jalinan kerjasama strategik dengan rakan industri.
Kedua, katanya, subjek pengajian lebih kepada action-based learning untuk pelajar mengaplikasikan ilmu diperoleh di dalam kelas dengan pihak industri.

Bersama pasukan UPTM memeriahkan BISA 2026 baru-baru ini.
Ketiga, menurut beliau, penyediaan ijazah dan sijil profesional diperlukan oleh industri bagi setiap program yang disifatkan cukup unik di UPTM.
“Ketiga-tiga perkara ini menjadi kunci utama dalam melahirkan graduan UPTM yang berdaya saing tinggi.
“Di universiti kelolaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ini juga, kami turut memperkenalkan konsep Student Amazing Outlook yang memfokuskan body, mind and soul.
“Jika menyentuh soal budaya kerja pula, setiap staf menitikberatkan kerjasama merentasi hierarki selari dengan slogan Amazing UPTM yang mengamalkan nilai, hubungan dan etika kerja,” ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada Sinar Harian atas penghormatan yang diberikan pada BISA 2026.

Lebih 30 penerima BISA 2026 diraikan mengikut kategori dan sektor masing-masing.
“Saya juga berbesar hati kerana berada sepentas dengan penerima anugerah yang turut diraikan antaranya Ratu Rock Negara, Ella; Pengasas Christy Ng, Christy Ng; Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim yang mana masing-masing memberikan sumbangan besar dalam industri mereka.
“Ini anugerah keempat yang saya terima bagi pihak UPTM. Setiap pencapaian yang diraih adalah hasil daripada inisiatif strategik, komitmen kukuh, kepercayaan serta kekuatan kerja berpasukan.
“Kini memasuki tahun ketiga saya berkhidmat sebagai Naib Canselor UPTM, saya amat bersyukur dapat bekerjasama dengan pasukan yang luar biasa dan sentiasa menjunjung semangat ‘Amazing UPTM’, profesionalisme serta budaya humanistik,” ujarnya lagi.


