GSF 2.0: Empat rakyat Malaysia dilaporkan masih teruskan pelayaran menuju ke Gaza

GSF 2.0: Empat rakyat Malaysia dilaporkan masih teruskan pelayaran menuju ke Gaza

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat rakyat Malaysia dilaporkan masih meneruskan pelayaran misi kemanusiaan menuju ke Gaza meskipun kebanyakan kapal dalam konvoi berkenaan sudah dipintas dan ditahan tentera Israel.

Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs dan Chin dilaporkan berada di atas kapal Alcyone, Syed Amirul menaiki kapal Don Juan serta Dr Thanisah di atas kapal Zefiro.

Difahamkan, konvoi berkenaan pada asalnya membabitkan 54 kapal, namun sebanyak 43 kapal sudah dipintas dan ditahan oleh tentera Israel.

Daripada enam kapal Global Sumud Flotilla (GSF 2.0), hanya Nablus (Alcyone) dan Akka (Andros) masih aktif dan empat yang lain iaitu Qazaza (Abodes); Amanda; Khubbayza (Amazon) dan Al Khisas (Atlantic Blue).

Ketika ini Nablus berada 157.8 batu nautika ke Gaza dan Akka berada pada kedudukan 151.2 batu nautika ke perairan yang dituju.

Berdasarkan laman penjejak Freedom Flotilla Coalition (FFC), lima flotillanya yang berlayar iaitu Adalah, Perseverance, Loveaqsa/ Tenaz dan Kyriakos X sudah dpintas dan tinggal Lina Al-Nabusi masih aktif.

Misi berkenaan dipercayai membawa bantuan kemanusiaan bagi penduduk Palestin di Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan susulan konflik berpanjangan di wilayah itu.

Setakat ini, jumlah rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ditahan tentera Israel meningkat kepada 16 orang.

Perkembangan terkini hingga jam 7.05 malam tadi dikongsi melalui paparan langsung yang disiarkan di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia di Sepang di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top