Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan menangguhkan serangan yang dirancang terhadap Iran pada Selasa susulan permintaan pemimpin negara Teluk ketika “rundingan serius” sedang berlangsung dengan Tehran.
Pengumuman mengejut itu dibuat Trump menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social pada Isnin selepas Iran memaklumkan bahawa pihaknya sudah memberikan maklum balas terhadap cadangan baharu Washington yang menamatkan konflik.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memandangkan rundingan penting kini sedang berlangsung.
Beliau berkata, sekutu negara Teluk yakin satu perjanjian boleh dicapai termasuk memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
Trump turut memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan tentera AS supaya tidak meneruskan serangan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tentera AS diarahkan supaya terus bersiap sedia untuk melancarkan serangan berskala penuh ke atas Iran pada bila-bila masa sekiranya tiada perjanjian yang dipersetujui dapat dicapai.
Trump sebelum ini mengeluarkan beberapa siri amaran keras terhadap Iran dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini sejak kepulangannya dari lawatan ke China bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.
Ahad lalu, Trump berkata, masa semakin suntuk dan memberi amaran bahawa tiada apa lagi yang akan tinggal di Iran sekiranya perjanjian damai gagal dicapai.
AS dan Israel terbabit dalam konflik dengan Iran sejak tentera kedua-dua negara melancarkan serangan pada akhir Februari lalu.
Trump kini berdepan kesukaran untuk memecahkan kebuntuan rundingan dan menamatkan konflik yang menggugat kestabilan Timur Tengah serta menyebabkan harga tenaga dunia meningkat.
Kedua-dua pihak setakat ini hanya mengadakan satu pusingan rundingan di Pakistan meskipun gencatan senjata rapuh dicapai pada April lalu.
Ahad lalu, agensi berita Iran, Fars melaporkan bahawa Washington mengemukakan lima tuntutan utama termasuk menggesa Iran mengehadkan operasi kepada hanya satu tapak nuklear serta memindahkan uranium diperkaya tahap tinggi ke AS, manakala Tehran pula mahu mengekalkan kawalan pengurusan ke atas Selat Hormuz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




