Lausanne: Gimnastik Dunia (WG) menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas atlet Rusia dan Belarus selepas pencerobohan Ukraine pada 2022.
Mesyuarat jawatankuasa eksekutif badan itu yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Sharm El-Sheikh memaklumkan sekatan itu ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Ini bermakna gimnas dari kedua-dua negara kini bebas untuk kembali bertanding menggunakan bendera dan lagu kebangsaan masing-masing, selain tidak lagi perlu bertanding sebagai atlet neutral.
Mereka turut dibenarkan beraksi secara berpasukan selain syarat lama berkaitan sokongan terhadap perang Ukraine dan kaitan dengan tentera turut dimansuhkan.
WG tidak memberikan sebarang alasan terhadap keputusan itu yang bercanggah dengan cadangan terkini Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), pada awal bulan ini yang menyarankan supaya atlet Belarus dibenarkan kembali bertanding, tetapi bukan atlet Rusia.
Keputusan itu membuka peluang kepada gimnas Rusia dan Belarus untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).
Selain itu, sukan judo dan renang sudah mengundi untuk menerima semula sepenuhnya kedua-dua negara, manakala tinju kekal mengikut pendirian IOC dengan menarik balik sekatan terhadap Belarus sahaja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




